Thursday, March 20, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    NASA kaji cahaya misteri di Bulan menerusi imej Blue Ghost

    WASHINGTON, 19 MAC – Sebuah pendarat persendirian dari Amerika Syarikat berjaya merakam imej definisi tinggi yang memaparkan fenomena matahari terbenam di Bulan, sekali gus membuka peluang kepada penyelidik NASA untuk mengkaji misteri jerebu aneh yang pertama kali diperhatikan di permukaan bulan pada 1960an.

    Syarikat angkasa lepas berpangkalan di Texas, Firefly Aerospace, yang berkongsi imej tersebut kelmarin, mencatat sejarah sebagai syarikat persendirian pertama berjaya mendaratkan kapal angkasa robotik dalam keadaan tegak di permukaan bulan awal bulan ini.

    Pendaratan Blue Ghost di Mons Latreille, satu kawasan gunung berapi dalam Mare Crisium di bahagian timur laut sisi dekat bulan pada 2 Mac lalu. Ia beroperasi sehingga 16 Mac sebelum dimatikan susulan kehadiran bulan waktu malam yang ekstrem.

    Salah satu imej yang dirakam menunjukkan matahari bersinar di kaki langit dengan lingkaran hijau yang mengelilinginya. Di atasnya, sebuah titik kecil dipercayai Zuhrah dapat dilihat, manakala pantulan Bumi kelihatan hampir sebesar matahari di bahagian atas bingkai gambar.

    Sudut lain turut memaparkan matahari terbenam dengan pancaran cahaya kehijauan yang jelas menerusi kamera yang menghadap ke barat. “Kami sedang meneliti semua gambar ini dengan lebih terperinci bersama pakar saintifik,” kata Joel Kearns, Timbalan Pentadbir Bersekutu bagi Eksplorasi di Direktorat Misi Sains NASA. – AFP

    Gambar serahan NASA/Firefly Aerospace menunjukkan matahari terbenam di Bulan pada 18 Mac. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda