NASA kaji insiden ISS berputar

MOSCOW, 5 OGOS – Jurutera angkasa lepas akan mengkaji sama ada kerosakan yang menyebabkan Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) berputar tanpa terkawal mungkin menjejaskan mana-mana sistemnya, kata pegawai Rusia semalam.

Sergei Krikalev, pengarah program angkasa lepas di korporasi angkasa lepas Rusia Roscosmos, menekankan bahawa kejadian pada minggu lalu tidak mengakibatkan sebarang kerosakan ke atas stesen angkasa lepas tetapi beliau berkata pakar perlu mengkaji kesan yang berpotensi timbul.

“Nampaknya tidak ada kerosakan,” kata Krikalev dalam temu bual yang disiarkan oleh televisyen Rusia. “Namun terpulang kepada pakar untuk menilai kesannya ke atas stesen.”

NASA berkata semalam stesen itu beroperasi seperti biasa dan mendapati putaran adalah dalam had yang selamat untuk sistemnya.

Sistem tujahan di modul makmal Nauka Rusia dilancarkan selepas modul tiba di ISS hari ini, menjadikan stesen orbit berputar kira-kira satu setengah revolusi. Pengawal misi Rusia melancarkan sistem itu pada satu lagi modul Rusia dan kapal kargo Rusia yang diletak di stesen angkasa untuk menghentikan putaran dan seterusnya menolak stesen kembali ke kedudukan biasa.

Pegawai angkasa lepas AS dan Rusia berkata tujuh anggota kru stesen tidak terdedah kepada bahaya semasa kejadian itu.

Stesen itu perlu disejajarkan untuk mendapatkan kuasa maksimum dari panel solar dan mengekalkan komunikasi dengan pasukan sokongan angkasa apabila kembali di Bumi. Komunikasi stesen angkasa dengan pengawal darat terputus dua kali selama beberapa minit hari ini. – AP

Gambar serahan NASA menunjukkan modul Nauka seberat 22 tan ketika ia menghampiri Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa. – AP