NEW YORK, 15 MEI – Rover Perseverance milik NASA telah mengesan aurora pertama di Marikh yang boleh dilihat dengan mata kasar, satu berita baik bagi angkasawan masa depan yang mungkin dapat menikmati pemandangan itu di planet merah.
Para saintis dari Eropah dan Amerika Syarikat (AS) melaporkan aurora hijau di langit berdebu Marikh itu dihasilkan oleh ribut suria tahun lalu dan mereka sempat membuat persediaan tiga hari lebih awal untuk merakam fenomena tersebut dengan kamera
rover.
Sebelum ini, aurora yang dikesan di Marikh hanya dapat dilihat dalam spektrum ultraungu, tetapi aurora kali ini berlaku dalam jarak gelombang yang dapat dilihat.
Ia terhasil akibat nyalaan suria pada Mac 2024 yang diikuti oleh pelepasan jisim korona, pancaran plasma dari matahari yang menghala ke Marikh.
Pemerhatian terkini menunjukkan ramalan aurora di kutub utara dan selatan kini boleh dilakukan di Marikh, membolehkan saintis mengkaji cuaca angkasa, kata Elise Wright Knutsen dari Universiti Oslo, yang kajiannya diterbitkan kelmarin dalam jurnal Science Advances.
‘Sementara fenomena yang terang itu menjadi kelam disebabkan habuk, kejadian yang berlaku dalam keadaan langit lebih jelas atau zarah kerpasan yang lebih kuat mungkin akan melebihi ambang penglihatan manusia dan boleh dilihat oleh angkasawan pada masa depan’, tulis para penyelidik.
Ia merupakan kali pertama aurora dilaporkan dari permukaan sebuah planet selain Bumi, menurut mereka. Sebelum ini, semua pemerhatian dibuat dari orbit.
Dilancarkan pada tahun 2020, kapal perayau Perseverance telah meneroka Kawah Jezero di Marikh sejak tahun 2021, mengumpul sampel habuk dan batu untuk dibawa pulang ke Bumi suatu hari nanti. – AP
