Friday, December 27, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nasa lancar program artemis

    WASHINGTON, 14 OKT – NASA mengumumkan semalam lapan negara telah menandatangani satu perjanjian antarabangsa bergelar Perjanjian Artemis yang menggaris kasar prinsip penjelajahan Bulan pada masa depan.

    Perjanjian itu membuka laluan kepada anggota pengasas – Australia, Kanada, Itali, Jepun, Luxembourg. Emiriah Arab Bersatu, Britain dan Amerika Syarikat – untuk mengambil bahagian dalam program Artemis NASA, yang bertujuan membawa semula manusia ke planet terdekat Bumi pada 2024.

    “Artemis akan menjadi program penjelajahan angkasa lepas manusia antarabangsa paling meluas dalam sejarah, dan Perjanjian Artemis merupakan alat yang akan menubuhkan gabungan global ini,” kata Pentadbir NASA Jim Bridenstine.

    “Dengan pemeteraian hari ini, kami bersatu dengan rakan kami untuk meneroka Bulan dan menubuhkan prinsip penting yang akan mewujudkan masa depan selamat, aman dan makmur dalam angkasa lepas untuk dinikmati oleh semua manusia.”

    Sementara NASA akan memimpin program Artemis, ia telah menekankan keperluan perkongsian antarabangsa untuk membangunkan kewujudan mapan di Bulan, sesuatu yang dianggap oleh agensi sebagai kunci sebelum misi manusia ke Marikh.

    Agensi berharap, misalnya, untuk menggali ais dari kutub selatan Bulan untuk membekal air minuman dan memecahkan molekul untuk menghasilkan bahan api roket untuk perjalanan seterusnya.

    Ia juga merancang mendirikan stesen angkasa lepas orbit dipanggil Gateway. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda