LOS ANGELES, 16 DIS – Sebuah satelit Amerika Syarikat-Perancis yang akan memeta hampir kesemua lautan, tasik dan sungai di dunia dilancarkan ke orbit hari ini.
Pelancaran pada awal pagi menggunakan roket SpaceX dari Pangkalan Angkasa Vandenberg di California adalah projek sains muka bumi utama yang pertama kali dilakukan di dunia.
Dinamakan sebagai SWOT, singkatan bagi Topografi Permukaan Air dan Lautan, radar satelit canggih itu amat diperlukan ketika perubahan iklim memburukkan kemarau, banjir dan hakisan pantai, menurut saintis.
”Kami akan berupaya melihat apa yang tidak dapat dilihat sebelum ini dan benar-benar memahami di mana air berada pada bila-bila masa,” kata Benjamin Hamlington di Makmal Pendorongan Jet NASA di Pasadena, California.
Sebesar saiz sebuah kenderaan SUV, satelit itu dapat mengumpulkan maklumat ukuran ketinggian air di lebih daripada 90 peratus permukaan Bumi, justeru membenarkan saintis mengesan aliran dan mengenal pasti kawasan berisiko tinggi. Ia juga akan meninjau berjuta-juta tasik serta sungai sepanjang 2.1 juta kilometer dari hulu air ke muara. Data yang disusun dan diperoleh di planet, sekurang-kurangnya dua kali dalam tempoh 21 hari, akan membantu membuat ramalan cuaca dan iklim.
Ia juga dapat membantu menguruskan kaedah bekalan air tawar yang terhad, di kawasan dilanda kemarau, menurut penyelidik. – AP


