WASHINGTON, 12 JULAI – Pancutan gas merah meletus ke alam semesta, dan gua debu yang bercahaya: NASA mendedahkan imej baharu yang menakjubkan hari ini yang menggambarkan kelahiran bintang bagi menandakan ulang tahun pertama operasi sains Teleskop Angkasa James Webb.
Gambar itu ialah kompleks awan Rho Ophiuchi, kawasan pembentukan bintang yang paling hampir dengan bumi pada jarak 390 tahun cahaya yang membolehkan gambar terperinci yang jelas dihasilkan tanpa gangguan bintang di latar depan.
“Hanya dalam satu tahun, Teleskop Angkasa James Webb telah mengubah pandangan manusia tentang alam semesta, mengintip ke awan debu dan melihat cahaya dari sudut alam semesta yang jauh buat kali pertama,” kata Pentadbir NASA, Bill Nelson.
“Setiap imej baharu adalah penemuan baharu, memperkasakan saintis di seluruh dunia untuk bertanya dan menjawab soalan yang dulu mereka tidak pernah dapat bayangkan.”
Imej Webb menunjukkan kira-kira 50 bintang muda, berjisim serupa dengan matahari kita atau lebih kecil. Sesetengahnya mempunyai bayang-bayang tanda cakera bulat petanda bahawa planet akhirnya mungkin terbentuk di sekelilingnya.
Pancutan hidrogen yang besar muncul secara mendatar di sepertiga atas, dan menegak di sebelah kanan.
“Kejadian ini berlaku apabila bintang pertama kali menembusi sarung debu kosmiknya, menembak keluar sepasang pancutan bertentangan ke angkasa seperti anak damit yang baru pertama kali meregangkan tangannya ke dunia,” kata NASA, agensi angkasa lepas AS, dalam satu kenyataan. – AFP
