WASHINGTON, 24 NOV – Satu misi yang dijalankan oleh NASA untuk menghentam asteroid menggunakan kapal angkasa telah dilancarkan semalam di California, yang mana, misi itu adalah satu ujian sekiranya manusia perlu menghentikan ancaman batu angkasa gergasi daripada menghapuskan kehidupan di bumi ini.
Ia mungkin kedengaran seperti sebuah kisah sains fiksyen, namun Ujian Pengalihan Asteroid Berganda (DART) adalah eksperimen bukti konsep sebenar, yang dilancarkan pada 10:21 malam waktu Pasifik semalam, di atas roket SpaceX dari Pangkalan Angkasa Vandenberg, California.
Matlamat misi itu adalah untuk mengalihkan sedikit trajektori asteroid Dimorphos, yang berukuran 160 meter lebar yang mengelilingi asteroid lebih besar dikenali sebagai Didymos (berukuran 2,500 kaki diameter). Kedua-dua asteroid itu mengelilingi matahari secara serentak.
Impak hentaman akan berlaku pada musim luruh 2022 apabila sistem asteroid binari berada pada jarak 11 juta kilometer dari bumi, titik terdekat yang pernah direkodkan. “Apa yang kami cuba pelajari adalah bagaimana untuk menangkis ancaman,” kata saintis terkemuka NASA, Thomas Zuburchen mengenai projek bernilai AS$330 juta, projek pertama seumpamanya.
Bagaimanapun, asteroid-asteroid berkenaan tidak mendatangkan ancaman pada bumi. Namun ia tergolong dalam kategori Objek Berhampiran Bumi (NEO), yang menjangkau dalam lingkungan 30 juta batu.
Pejabat Pelarasan Pertahanan Planet NASA berminat dengan objek yang lebih besar daripada 140 meter, yang berpotensi meratakan seluruh bandar dan wilayah dengan kekuatan berkali ganda daripada purata bom nuklear.
Terdapat 10,000 asteroid NEO berukuran 460 kaki atau lebih besar, namun tiada yang berpotensi menghentam bumi dalam tempoh 100 tahun akan datang. Pakar saintis juga berpendapat masih ada 15,000 atau lebih objek sedemikian yang belum dikenal pasti. – AFP
