Friday, May 2, 2025
26.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nasi ayam Faye Kusairi dapat sambutan ramai

    Sejak beberapa hari lalu, tular di media sosial pelakon Malaysia, Faye Kusairi, berniaga nasi ayam di pinggir jalan di Bukit Antarabangsa, Ampang, Selangor selepas dilihat lama menyepi dari dunia lakonan.

    Faye atau Dayangku Faratiwan Adnil Awang Kusairi, 36, berkata, dia memulakan perniagaan tersebut sejak dua minggu lalu dan tidak menyangka ia mendapat sambutan luar biasa pelanggan.

    “Perniagaan Alhamdulillah, tiada pembaziran. Sambutan baik pelanggan, penduduk kawasan sini, rakan-rakan serta keluarga dekat dan jauh.

    “Dengan izin Allah juga hujan atau panas, jualan tetap berjalan lancar,” katanya ketika dihubungi mStar.

    Tambah Faye, setiap hari hampir 50 bungkus nasi ayam terjual dan jumlahnya semakin meningkat dari semasa ke semasa dan tidak teragak-agak memajukan lagi perniagaan itu pada masa depan.

    Faye tak menang tangan urus gerai nasi ayam. – Berita Harian

    Dalam pada itu, Faye memberitahu idea menjual nasi ayam tercetus selepas sering memasak makanan itu memandangkan anak sulungnya menggemari juadah berkenaan.

    “Anak sulung saya suka nasi ayam dan dari situlah tercetusnya inspirasi menjual nasi ayam. Lagipun bertahun tengok kawasan sini tiada yang menjual hidangan tersebut.

    “Sebagai ibu saya rasa agak memudahkan kalau ada yang menjual nasi ayam di kawasan ini terutama bagi ibu-ibu yang bekerja,” katanya.

    Bercakap tentang perkembangan karier seni, Faye menjelaskan dia bukan tiada tawaran lakonan tetapi terpaksa menolak sebab baru selesai berpantang pada Ogos lalu.

    Namun sekiranya menerima tawaran berlakon dia bakal menutup sementara gerainya kerana mahu memberi tumpuan pada lakonan.

    “Baru bulan lepas rasanya saya tak berlakon. Saya ada jalani penggambaran masa baru betul-betul habis pantang. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda