Friday, February 7, 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nasi ayam pilihan ramai

    Oleh Afiq Zainuddin –

    Nasi ayam merupakan hidangan yang cukup digemari ramai. Nasi ayam sangat terkenal dengan aromanya yang wangi dan isi ayamnya yang lembut dan enak. Hidangan ini menjadi lengkap dengan adanya sayur-sayuran seperti hirisan timun serta sup panas dan sambal lada yang meningkatkan selera. Walaupun menggunakan banyak bahan, namun cara penyediaannya sangat ringkas. Hidangan ini merupakan salah satu hidangan paling popular di Asia Tenggara yang mana ia boleh dinikmati pada bila-bila masa sepanjang hari.

    BAHAN-BAHAN

    Bercerita secara ringkas bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat nasi ayam terbahagi kepada beberapa bahagian. Yang pertama, bahan untuk rebusan ayam adalah seperti ayam, bawang putih serta halia yang ditumbuk halus dan kiub ayam. Manakala bahan untuk ayam (diperap) adalah seperti kicap pekat, sos tiram, halia yang ditumbuk halus, kicap cair dan sedikit madu. Akan tetapi pastikan ayam itu tidak direbus terlalu lama kerana apabila direbus terlalu lama, isi ayam akan mudah hancur ketika di goreng.

    Kemudian bahan untuk nasi pula adalah seperti beras, air rebusan ayam, mentega, halia, bawang putih yang ditumbuk halus, garam, bunga lawang, bunga pelaga, kayu manis, serai dan sedikit kunyit untuk warna dan aroma.

    Setelah itu bahan untuk sos adalah seperti cili merah, bawang putih, halia, cuka, garam, gula dan air rebusan ayam.

    Manakala bahan untuk sup pula adalah air rebusan ayam, bawang besar yang dikisar, rempah sup bunjut, garam, daun sup dan daun bawang yang dihiris. Seterusnya, bahan yang diperlukan untuk menghasilkan kuah kicap adalah seperti kuah kicap perapan ayam, kicap manis, sedikit garam dan air rebusan ayam.

    Foto Canva
    Foto Canva
    Gambar Freepik
    Gambar Freepik
    Gambar Freepik

    CARA PENYEDIAAN

    Cara penyediaan untuk ayam, mula-mula bersihkan ayam, toskan air dan lumurkan dengan dua ulas bawang putih dan halia yang diketuk. Kemudian rebus ayam bersama satu kiub ayam sehingga empuk.

    Setelah itu angkat ayam dan perap dengan bahan peram selama setengah jam kemudian goreng dalam api panas sederhana seketika, angkat dan sapukan dengan madu.

    Manakala cara untuk memasak nasi, mula-mula basuh beras dan tos air, kemudian panaskan mentega lalu tumiskan rempah tumis sperti daun pandan, serai, halia serta bawang putih hingga garing.

    Setelah itu masukkan beras dan masak seketika sehingga naik aroma dan bau. Masukkan air rebusan ayam, garam dan kunyit secukupnya dan masak nasi seperti biasa.

    Cara untuk memasak sup pula, mula-mula rebus air rebusan ayam bersama rempah sup bunjut, bawang besar dan masukkan garam secukup rasa. Taburkan dengan bawang goreng dan hirisan daun sup.

    Sementara itu, untuk memasak sos pula kisarkan semua bahan di atas namun boleh juga dimasak sebentar untuk menaikkan aroma, dan yang terakhir sekali cara untuk memasak kuah kicap adalah dengan mencampurkan semua bahan untuk kicap dan masak seketika, setelah itu sejukkan dahulu sebelum dihidang.

    Bahan-bahan:

    • Bahan untuk ayam (direbus) :

    o 1 ekor ayam dipotong 8
    o 2 ulas bawang putih, ditumbuk halus
    o 2 cm halia, ditumbuk halus
    o 1 kiub ayam

    • Bahan untuk ayam (diperap) :

    o 1 sudu besar kicap pekat
    o 1 sudu besar sos tiram
    o 1 cm halia, ditumbuk halus
    o 2 ulas bawang putih, ditumbuk halus
    o 1 sudu besar kicap cair
    o Sedikit madu untuk sapuan

    • Bahan untuk nasi:

    o 3 cawan beras
    o 4 cawan air rebusan ayam
    o 2 sudu besar butter
    o 1 cm halia ditumbuk halus
    o 3 ulas bawang putih ditumbuk halus
    o Sedikit garam
    o 2 bunga lawang
    o 4 buah pelaga
    o 1 kayu manis
    o 1 batang serai ketuk
    o 2 helai daun pandan
    o Sedikit kunyit untuk warna dan aroma

    • Bahan untuk sos:

    o 5 biji cili merah
    o 3 ulas bawang putih
    o 2 cm halia
    o 1 sudu besar cuka
    o 1 sudu teh garam
    o 1 sudu teh gula
    o 1/2 cawan air rebusan ayam

    • Bahan untuk sup:

    o Air rebusan ayam
    o 1 biji bawang besar, dikisar
    o Rempah sup bunjut
    o Garam
    o Daun sup dan daun bawang yg dihiris

    • Bahan untuk kuah kicap:

    o Kuah kicap perapan ayam di atas
    o Kicap manis cap kipas udang
    o Sedikit garam
    o Air rebusan ayam

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda