Friday, February 7, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nasi bambong ‘Menu Rahmah’ masyarakat Tawau

    TAWAU, 26 FEB – Lazimnya mi tauhu dan nasi kuning menjadi makanan pilihan ketika di Tawau, namun baru-baru ini dengan langkah kerajaan memperkenalkan Menu Rahmah, nama ‘nasi bambong’ disebut semula masyarakat di sini, serta penduduk Sabah secara amnya.

    Tinjauan Bernama mendapati nasi bambong yang dijual sekitar RM3 hingga RM4, amat bertepatan dengan objektif Menu Rahmah iaitu menyediakan hidangan berharga RM5 atau lebih murah, yang bernutrisi lengkap.

    Peniaga nasi bambong di Taman Sabindo di sini, Kasmi Hadi, 52, berkata pelanggan boleh memilih nasi putih dan satu jenis lauk, manakala hidangan sampingan seperti sayur, tauhu, tempe dan sambal disediakan percuma.

    “Setiap hari saya masak 10 hingga 20 jenis lauk ayam dan ikan, antaranya ayam masak paleko, masak lengkuas, masak merah, masak mentega, kalau ikan seperti ikan baulu rebus, menu lauk nasi bambong ini saya masak ala restoran,” katanya kepada Bernama.

    Menu Rahmah dilancarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 31 Januari lepas merupakan hidangan tengah hari atau malam yang seimbang, lengkap dengan karbohidrat daripada nasi, sumber protein seperti ayam atau ikan dan sayuran, serta ditawarkan pada harga RM5 sepinggan.

    Pada dekad 1990an nasi bambong hanya dijual sekitar RM1, namun harga itu terpaksa dinaikkan kepada RM3 hingga RM4 terutama selepas pandemik COVID-19 susulan kenaikan harga barang.

    Kasmi berkata bagi hidangan sampingan percuma, pelanggan boleh memilih daripada pelbagai jenis lauk seperti sayuran kacang, daun ubi, kubis dan pelbagai lagi.

    “Bambong itu maksudnya tidak bekerja dalam dialek tempatan dan nasi bambong ini wujud supaya semua orang boleh makan termasuk (mereka yang) tidak bekerja,” katanya. –Bernama

    Nasi bambong diperkenalkan dalam Menu Rahmah di Tawau. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda