Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nasi goreng mudah disediakan

    Oleh Afiq Zainuddin –

    Nasi goreng merupakan hidangan popular dan ringkas yang menjadi kegemaran semua orang bukan sahaja ketika sarapan pagi namun juga pada waktu makan tengah hari, petang mahupun malam. Kini nasi goreng mempunyai pelbagai versi dan resipi yang boleh disesuaikan mengikut cita rasa awda.

    Nasi goreng merupakan hidangan yang cepat dan mudah disediakan. Tetapi, untuk mendapatkan rasa nasi goreng yang sedap mengikut apa yang selalu kita makan di restoran memang agak sukar walaupun ia nampak mudah melainkan awda terjumpa resipi yang mantap.

    Untuk membuat nasi goreng, nasi yang telah sejuk adalah lebih baik berbanding nasi panas. Ini kerana, nasi yang masih panas atau baharu dimasak mempunyai tekstur yang lebih lembut dan agak lembik.

    Manakala nasi yang telah sejuk mempunyai tekstur yang kenyal dan kering. Malah, nasi sejuk sangat sesuai serta sedap untuk dibuat nasi goreng. Namun, tahukah awda bahawa nasi sejuk juga sebenarnya lebih sihat berbanding nasi panas.

    Hal ini kerana, nasi yang telah sejuk mempunyai paras gula yang jauh lebih rendah berbanding nasi panas. Ini secara tidak langsung sangat bermanfaat kepada pesakit diabetes dalam mengawal paras gula darah harian mereka.

    Gambar Freepik
    Gambar Freepik
    Gambar Freepik
    Gambar Freepik
    Gambar Freepik

    Membuat nasi goreng yang sedap tidaklah sesukar mana, asalkan awda tahu teknik yang betul serta resipi yang tepat.

    Berkongsi secara ringkas antara bahan-bahan yang diperlukan adalah seperti nasi sejuk, minyak masak, cili kering, sos tiram, bawang merah (ditumbuk), bawang putih (ditumbuk), garam, sayur-sayuran, telur, daging, isi ayam, corned beef, udang dan sebagainya.

    Cara memasaknya pula, mula-mula panaskan kuali dan masukkan sedikit minyak lalu tumis sehingga naik bau, kemudian masak telur dan kacau, selepas itu angkat setelah masak.

    Kemudian, tumiskan kesemua bahan tumbuk di dalam kuali, jika awda agak malas untuk menumbuknya, awda boleh menghirisnya dengan halus sahaja. Setelah bahan tumbuk agak masak dan garing, masukan isi ayam, daging atau corned beef dan gaul hingga sebati.

    Setelah kesemua bahan masak sekata, masukkan nasi dan juga sayur. Gaul rata dan tunggu sehingga sayur-sayuran agak masak. Akhir sekali, masukkan telur kacau dan gaul hingga sebati, kemudian tutup api. Selepas itu pindahkan nasi goreng itu dari kuali dan sedia untuk dihidangkan. Selamat mencuba.

    Bahan-bahan :

    • Nasi sejuk
    • Cili kering
    • Bawang merah
    • Bawang putih
    • Sayur-sayuran
    • Isi ayam, udang atau daging
    • Garam
    • Telur
    • Sos tiram

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda