PULAU PINANG – Aromanya yang sungguh menyelerakan menarik ramai pengunjung. Itulah nasi kandar, hidangan nasi kukus yang bercampur dengan tujuh hingga 10 jenis kuah dan digandingkan dengan pelbagai lauk.
Diperkenalkan di Pulau Pinang oleh peniaga Tamil Muslim dari India pada awal 1900an, keinginan menikmati sajian nasi kandar semakin meningkat dalam kalangan penggemar makanan sejak beberapa dekad ini. Hari ini, ia tetap menjadi hidangan kegemaran rakyat Malaysia dari semua kaum dan agama.
Restoran nasi kandar popular di Pulau Pinang seperti Legenda Hameediyah, Nasi Kandar Pokok Ketapang dan Kapitan Maju selalunya sesak dan dipenuhi pelanggan, tetapi orang ramai sanggup beratur panjang untuk menunggu giliran masuk. Menariknya, restoran berkenaan telah menjadi tempat pertemuan penduduk berbilang kaum dan agama, justeru memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Menurut salah seorang pemilik restoran, Muhammad Riyaaz Syed Ibrahim, 33, nasi kandar walau bagaimana juga memuaskan selera Malaysia sejak turun-temurun dan juga dalam caranya yang tersendiri berjaya menyatupadukan rakyat negara ini.
Beliau berkata lauk-pauk yang dihidangkan bersama nasi kandar seperti ayam goreng, daging lembu, telur ikan, udang atau sotong, bersama sayur-sayuran seperti terung, kacang bendi atau peria, dinikmati oleh kebanyakan rakyat Malaysia.
“Restoran saya, Hameediyah telah beroperasi sejak 1907 dan diiktiraf sebagai restoran nasi kandar tertua di negara ini. Sepanjang tahun, dari generasi ke generasi, pengusaha restoran telah menyaksikan keharmonian dalam kalangan rakyat Malaysia berbilang kaum melalui makanan,” katanya kepada Bernama.
Seorang lagi pemilik Restoran Deens Maju Nasi Kandar, Tajudeen S. Jamaldeen, 54, bersetuju nasi kandar menyatukan rakyat Malaysia.
“Sejak saya memulakan perniagaan ini pada 2012, saya telah melihat secara langsung bagaimana pelanggan pelbagai kaum datang ke sini dan tidak kisah berkongsi meja.
“Menariknya, beberapa tokoh kenamaan terkenal malah menyambut hari lahir mereka di sini dan mereka akan mengadakan majlis jamuan untuk semua pengunjung yang lain di restoran, tanpa mengira kaum.
“Orang ramai secara amnya gembira menikmati nasi kandar mereka, malah ada yang berkawan atau berkenalan sambil menjamu selera. Awda benar-benar melihat keharmonian antara pelbagai kaum apabila mereka berkongsi hidangan nasi kandar,” katanya.
Mahadi Muhamad, 35, seorang cef eksekutif di sebuah hotel, percaya susunan tempat duduk di restoran nasi kandar memainkan peranan penting dalam memupuk kemesraan atau keramahan dalam kalangan pelanggan pelbagai kaum.
“Saya sendiri pernah melihat sekumpulan rakan pejabat pelbagai kaum berkumpul di restoran nasi kandar untuk makan tengah hari.
“Ini menunjukkan bagaimana makanan seperti nasi kandar boleh menjadi jambatan penghubung yang kuat antara orang berbeza etnik,” tambahnya.
Itulah keajaiban hidangan kulinari yang diperkenalkan ke negara ini hampir satu abad yang lalu.
Tidak kira sama ada seseorang menikmati nasi kandar dengan hanya telur masin dan kubis tumis, atau dengan lauk yang lebih mahal tetapi ia akan sentiasa menjadi hidangan kegemaran rakyat Malaysia. – ANN/The Star