Oleh Siti Salwa Shaari
BENTONG – Jika Cameron Highlands dikenali dengan nasi lemak strawberi, Janda Baik di sini pula memiliki nasi lemak buah tin yang diilhamkan daripada produk pertanian baharu di situ.
Resipi nasi lemak sambal tumis buah tin itu merupakan cetusan idea anak muda, Faiz Farhan Yahya, 28, yang mengambil masa berbulan-bulan bereksperimen bagi mendapatkan ‘rasa yang menepati piawaian orang Malaysia’. Faiz Farhan yang merupakan lulusan Institut Makanan Malaysia dalam bidang pastri berkata anggota keluarga dan rakan terdekat menjadi ‘pengkritik paling hebat’ sepanjang beliau mencari rasa yang sesuai.
“Sambal tumis buah tin istimewa kerana rasanya yang seimbang iaitu pedas namun tidak keterlaluan manakala rasa buah tin masih dirasai namun tidak begitu kuat sehingga menenggelamkan rasa asli sambal tumis. Penyediaannya menuntut kesabaran kerana mengambil masa selama 12 jam menggunakan api paling kecil dan perlu dikacau setiap setengah jam,” katanya kepada Bernama semasa ditemui di ladang buah tin Benefigs.
Tempoh masa yang lama
Faiz Farhan menambah tempoh masa lama bagi menyediakan sambal bertujuan memastikan rasa buah tin benar-benar sebati selain petua orang lama yang mengatakan sambal tumis lebih sedap jika dimasak lama. Katanya, selain buah tin, bahan lain yang digunakan ialah bawang merah, bawang putih, beberapa jenis cili dan ‘beberapa bahan rahsia’ bagi menghasilkan resepi tersendiri.
“Saya berharap nasi lemak ini akan menjadi produk wajib dicuba jika berkunjung ke Janda Baik. Ini juga satu inovasi mempelbagaikan produk buah tin, yang lazimnya dimakan segar atau dikeringkan. Mengapa nasi lemak? sudah tentu kerana nasi lemak makanan kegemaran rakyat Malaysia dan boleh dimakan pada bila-bila masa,” katanya yang turut mengusahakan perniagaan makanan dari rumah di Kelana Jaya, Selangor.
Faiz Farhan berkata idea menggunakan buah tin juga diilhamkan daripada pengalaman di ladang buah tin rakannya Mohamad Hafidz Arifin, 33, yang merupakan penyokong kuat kepada usahanya. – Bernama
