Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Mei – Seramai 50 orang anak yatim menerima sumbangan derma pada Majlis Khatam Al-Quran dan penyampaian derma kepada anak-anak yatim Kampung Masin anjuran ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Masin baru-baru ini, yang berlangsung di masjid tersebut.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya berkesudian menyempurnakan penyampaian derma kepada anak-anak yatim ialah Pemangku Ketua Kampung Masin, Haji Ahmad bin Haji Tudin.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Ketua Imam masjid tersebut, Haji Mohd Zainol Hasramin bin Haji Mohd Hassan, ia diselajurkan dengan khatam Al-Quran, bacaan takhtim dan tahlil yang dipimpin oleh Haji Mohd Zainol Hasramin dan Haji Sufri bin Haji Mega.
Dikir Marhaban kemudian dilaungkan oleh Haji Wahab bin Haji Abdullah. Kemudian, majlis diteruskan lagi dengan penyampaian derma kepada anak-anak yatim Kampung Masin yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.
Sumbangan yang disampaikan kepada 50 orang anak yatim itu adalah daripada tabung Masjid Kampung Masin, orang-orang perseorangan dan syarikat-syarikat persendirian.
Ia diharapkan agar dapat membantu mengurangkan beban anak-anak yatim dalam sama-sama menyediakan keperluan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelang nanti.
Majlis itu juga dihadiri oleh kumpulan Muslimah masjid dan belia-belia Kampung Masin serta ahli-ahli Majlis Perundingan Kampung Masin dan Bebatik.
