MOSCOW – Kunjungan yang dibuat baru-baru ini mendapati beruang-beruang kutub utara terlihat berkeliaran di perkampungan Rusia dan menjejaskan aktiviti warga pada ketika itu. Ia mungkin hanya satu permulaan.
Apabila Moscow cuba meningkatkan aktivitinya dalam pemanasan Artik, konflik diantara spesies yang jarang dilihat itu berkemungkinan akan meningkat.
Lebih daripada 50 beruang kutub menghampiri kawasan Belyushya Guba, sebuah perkampungan di kepulauan utara Novaya Zemlya, pada bulan Februari lalu. Sebanyak 10 daripadanya berkeliaran di jalan-jalan raya dan memasuki bangunan.
Pihak berkuasa tempatan mengisytiharkan kecemasan negara selama seminggu dan merayu untuk bantuan dari Moscow.
Gambar-gambar insiden tersebut telah menjadi tular, dengan beberapa pemerhati menyalahkan para pegawai kerana membiarkan sampah-sarap berlonggokan di kawasan berdekatan, membuatkan haiwan-haiwan tersebut memakan sisa makanan di sana.

Tetapi para pakar mengenai beruang kutub mengatakan bahawa penyebab utama pemangsa Artik itu begitu dekat dengan manusia adalah oleh kerana pembekuan laut yang begitu lambat. Ini yang menghalangnya daripada memburu anjing-anjing laut dan terpaksa mencari sumber makanan alternatif.
Dan apabila Rusia meningkatkan jejaknya di Artik, memburu projek-projek tenaga, navigasi Laluan Utara dan kepentingan strategik ketenteraan, para pakar menjangkakan lebih banyak pertembungan antara manusia dan beruang.
“Pembangunan di Artik pasti akan menimbulkan konflik dengan manusia, terutamanya pada masa ini beruang-beruang kutub telah telah kehilangan platform hidupnya di beberapa kawasan dan darat,” kata ahli biologi Anatoly Kochnev, yang telah mengkaji beruang kutub di timur Arktik sejak tahun 1980an.
Novaya Zemlya, sebuah kepulauan dua pulau antara Kara dan Laut Barents, merupakan salah satu contoh terbaik bagi sempadan baharu Moscow, yang mana terjerumus ke dalam habitat beruang kutub.
Beruang-beruang yang berada di Laut Barents kini menghadapi pengurangan ais terpantas bagi spesiesnya, yang telah kehilangan 20 minggu ais setahun dalam beberapa dekad yang lalu, menurut Beruang Kutub Antarabangsa.
“Pemantauan ais menunjukkan bahawa sebelum ini, ais berhampiran Belushya Guba telah terbentuk pada bulan Disember,” kata Ilya Mordvintsev dari Institut Severtsov di Moscow, yang berada dalam sekumpulan saintis yang diterbangkan untuk membantu kampung tersebut.
“Selama beribu-ribu tahun, ia telah berhijrah pada ketika ini untuk memburu anjing laut. Namun pada tahun ini, ia telah sampai ke pesisir dan tiada ais.”
Sejak kejadian itu, ais telah terbentuk dan beruang-beruang meninggalkan kawasan untuk pergi memburu, katanya. “Tetapi mustahil untuk mengetepikan situasi berulang pada tahun-tahun akan datang.”
Dan apabila lebih ramai manusia datang ke Novaya Zemlya, kemungkinan konflik antara beruang kutub dan manusia akan semakin meningkat.
Belushya Guba kini merancang untuk memasang kamera dan menangani masalah sisanya, katanya. Kini dalam semua ketibaan yang menuju lapangan terbang tempatan, para pengunjung akan mendengar taklimat mandatori mengenai tingkah laku beruang kutub.
Rancangan Moscow untuk membangunkan Laluan Utara juga menimbulkan masalah untuk beruang kutub di rantau ini, katanya.
“Penggunaan berterusan kapal pemecah ais melalui ais-ais di sana telah menjejaskan kelahiran anjing laut dan populasinya,” iaitu sumber makanan beruang kutub tersebut.
Putin tahun lalu mengarahkan peningkatan keupayaan Laluan Utara, yang disebut sebagai laluan perdagangan alternatif ke Asia, dari 18 juta tan sehinggalah sekarang mencecah hingga 80 juta tan pada tahun 2024.
Kochnev berkata beruang-beruang itu telah mampu menyesuaikan dirinya setakat ini terhadap trend ini, mempelajari untuk mencari makanan secara berkumpulan berbanding memburu bersendirian. Tetapi jika pemanasan global berterusan, “beruang kutub ini akan meninggalkan Rusia.
“Sekiranya tempoh bebas ais ini meningkat dua hingga tiga minggu lagi, ia mungkin akan berhijrah ke utara Kanada, di mana perubahan-perubahannya kurang ketara,” katanya.
Sementara itu, bagi beruang-beruang yang masih berada di tanah Rusia, besar kemungkinan akan dibunuh dalam konflik antara manusia. – AFP