Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nasib berubah setelah bertemu makhluk ajaib

    Oleh Bulan Ungin –

    Di sebuah kampung ada seorang lelaki bernama Suling. Suling tinggal bersama kedua-dua orang tuanya tetapi nasib Suling amat malang sekali kerana dicaci dan dihina oleh orang di kampungnya. Sesiapa yang melihatnya pasti akan merasa jijik dan meludah. Suling tidak seperti pemuda-pemuda kampungnya yang sempurna kulit dan badan, tetapi tubuh Suling ditumbuhi kurap seluruh badan.

    Malah bukan orang lain saja yang membenci Suling, orang tuanya pun membencinya juga.Suling amat sedih sekali dengan nasib yang menimpanya. Sebelum subuh, Suling pergi meninggalkan kampungnya membawa hati yang amat pedih sekali. Perjalanan Suling amat jauh sekali, perutnya berasa lapar lalu Suling menebang unbut hutan untuk dimakan.

    Selesai makan, Suling meneruskan perjalanannya. Begitu-lah Suling bila penat, dia akan berhenti berehat. Tetapi Suling tidak tahu ke mana arah perjalanannya, ke mana kaki melangkah ke situlah yang ditujunya. Pada suatu hari selesai mandi di sungai dan mengalas perut dengan salai binatang hutan yang sempat dibunuhnya beberapa hari, Suling meneruskan perjalanannya. Hari hampir gelap, tiba-tiba Suling mendengar suara anak damit menangis di dalam hutan.

    “Dari mana pula datangnya suara tangisan itu? Baik aku cari,” kata Suling seorang diri.
    Suling cuba mencari dari mana datangnya suara tangisan itu, rupanya suara itu datang dari bawah batang.

    “Eh, comelnya anak ini, tapi siapa pula ibu dan ayahnya? Takkan dalam hutan tebal sebegini ada manusia,” Suling bisik dalam hati.

    Gambar Freepik

    Suling merasakan ada sesuatu yang tidak kena pada anak damit itu. Tanpa berfikir panjang lalu diangkatnya budak itu di dalam kain dan dibawanya naik ke sebatang pokok bernama pokok mengkubong. Beberapa minit kemudian Suling mendengar bunyi ketawa seperti bunyi ayam. Semakin dekat bunyi itu semakin kecut hati Suling. Tiba-tiba Suling ternampak seorang perempuan yang amat cantik, rambutnya panjang mengurai sampai mencecah tanah, tetapi kakinya tidak menjejak tanah.

    “Kembalikan anak aku Suling,” pinta perempuan itu. “Macam mana kau tahu namaku?” jawab Suling sambil mata terbeliak memandang perempuan tersebut.

    “Walau apa pun terjadi aku takkan kembalikan anak kau,” kata Suling sambil memandang si comel yang diangkatnya di dadanya. Suling menghunus parangnya dan membetulkan duduknya di atas pokok. Perempuan itu merenung tajam pada Suling.

    Tiba-tiba kuku jari perempuan itu semakin panjang merayapi pokok mengkubong itu, belum sempat kuku jari perempuan itu mencengkam kaki Suling, Suling lalu menetak kuku jari perempuan tersebut.

    “Kembalikan anakku, itu adalah anak kita berdua,” rayu perempuan itu sambil menangis.

    “Bila kau kahwin dengan aku hah? Aku tetap tak mahu kembalikan anak kau ni,” jawab Suling sambil tangannya mengusap tubuh anak damit itu tanpa memakai apa pun. Sekali lagi perempuan itu meradang dan kuku-kuku jarinya pun memanjang namun ditetak oleh Suling dan begitulah seterusnya.

    Tetapi setelah enam kali kukunya ditetak oleh Suling, perempuan itu merayu.

    “Cukuplah Suling aku tak akan membunuh kau percayalah,” rayu perempuan itu berulang kali. “Mulai hari ini aku akan menjadi manusia seperti kau, kembalikan anak aku Suling,” rayunya lagi.

    Setelah lama berfikir Suling lalu berkata, “Baiklah, kalau kau mengapakan aku, aku tak akan teragak-agak membunuh kau,” kata Suling memberi amaran. Lalu Suling turun dari atas pokok mengkubong.

    Sampai di bawah, perempuan itu membawa Suling terjun ke dalam sebuah telaga. Tanpa teragak-agak Suling terjun ke dalam telaga itu diikuti oleh perempuan itu. Perempuan misteri itu pun menyuruh Suling menggosok badannya dengan daun kayu untuk menghilang kurap di badannya. Dengan sekelip mata kurap di badan Suling pun hilang.

    Wajah Suling kacak sekali lalu Suling mengucapkan terima kasih pada perempuan misteri itu.

    Suling lalu menjadikan perempaun misteri itu sebagai isterinya. Suling membawa perempuan itu pulang ke kampung halamannya.Kedua orang tuanya amat terkejut sekali apabila melihat perubahan Suling dengan membawa seorang perempuan cantik.

    Setelah enam tahun Suling hidup bersama isterinya, maka isterinya berkata, “Suling suamiku, hanya setakat ini sahaja kita dapat bersama genap enam tahun, aku harus pergi meninggalkan semua dan pulang ke tempat asalku,” kata isteri Suling dengan sedihnya.

    “Jangan pergi nak, apa salah kami semua maka kau nak tinggalkan kami?” kata ibu Suling sedih.

    “Tolong jangan pergi isteriku,” rayu Suling.

    “Tidak Suling, ibu, ayah dan anakku, aku mesti pergi dan tidak akan kembali lagi, jagalah anak kita baik-baik,” kata isteri Suling sambil memeluk suami dan anaknya.

    Dengan sekelip mata, isteri Suling turun dari pantaran dan terus ketawa mengilai.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda