Nasib lelaki ceroboh, cabul wanita diputuskan 6 Julai

Oleh Fadley Faisal

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JUN – Mahkamah Perantaraan telah menetapkan tarikh 6 Julai depan bagi menjatuhkan hukuman terhadap seorang lelaki yang mengaku bersalah menceroboh rumah untuk mencuri dan mencabul kehormatan seorang wanita.

Tarikh penentuan itu ditetapkan oleh Hakim Hajah Hazarena binti POKSJDP Haji Abu Hurairah.

Timbalan Pendakwa Raya Syafina Abdul Hadzid memaklumkan mahkamah bahawa Khairul Sazwan bin Kadir, 25, telah memecah masuk sebuah rumah di Jalan 11, Perpindahan Kampung lambak Kanan pada pukul 5:15 pagi, 31 Mei di mana dia mengambil beg tangan di bilik tamu dan satu lagi beg tangan di sebuah bilik tidur di tingkat satu.

Ketika berada di bilik berkenaan, defendan terlihat wanita berusia 31 tahun yang sedang tidur dan menciumnya serta meramas bahagian sulitnya yang menyebabkan mangsa terbangun dan defendan terus lari keluar dari rumah berkenaan menerusi pintu dapur.

Mangsa membuat laporan polis yang membawa kepada penahanan  defendan dan penemuan semula barangan curi berkenaan.