Wednesday, May 14, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nasib lelaki mabuk diketahui hari ini

    Oleh Rafidah Jumat

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Julai – Seorang lelaki yang menghadapi tuduhan memandu dalam keadaan mabuk dan mencederakan seorang lelaki dan wanita, akan mengetahui hukumannya di Mahkamah Majistret esok.

    Majistret Pengiran Hazirah binti Pengiran Mohd Yusof menetapkan 1 Ogos untuk menjatuhkan hukuman Zulfaridzan bin Hussein, 40, selepas dia mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

    Fakta kes menyebut, kejadian berlaku pada 26 Jun 2018 apabila tertuduh minum sebotol arak sebelum memandu kereta yang turut dinaiki isterinya menuju ke rumah ibunya di Kampung Terunjing.

    Tertuduh melalui Lebuhraya Hassanal Bolkiah dan memandu secara terburu-buru, yang mana dalam perjalanan turut bertengkar dengan isterinya.

    Pada masa sama, seorang pemandu wanita yang memandu di lorong kanan lebuh raya terlihat tertuduh menyalakan lampu keretanya di belakang.

    Wanita itu kemudian mengambil lorong kiri namun tertuduh terus mengekorinya dari dekat dan melanggar keretanya dari belakang sehingga kereta mangsa terhenti.

    Tertuduh keluar dari keretanya dan mendekati kereta mangsa tetapi mangsa yang dalam keadaan takut, enggan keluar dari keretanya.

    Seorang pemandu lelaki yang juga rakan mangsa kebetulan melalui kawasan sama, terlihat tertuduh mendekati kereta mangsa dan memutuskan untuk memberhentikan keretanya dan menanyakan apa yang terjadi.

    Tertuduh menuduh yang mangsa mempunyai hubungan sulit dengan isterinya sebelum menumbuk rakan mangsa beberapa kali di muka sehingga rebah.

    Tertuduh kemudian menendang muka rakan mangsa sehingga cedera.

    Melihat rakannya diperlakukan sedemikian, mangsa terus keluar dari keretanya dan menolak tertuduh ke tepi.

    Tertuduh kemudian menumbuk muka mangsa dan menuduh rakan mangsa turut mempunyai hubungan sulit dengan isterinya.

    Mangsa dan rakannya tidak mengenali tertuduh.

    Kes tertuduh didakwa Timbalan Pendakwa Raya, Sabrina binti Haji Mahmud.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda