Thursday, December 26, 2024
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nasib malang tukang tilik

    SERIA, 2005 – Dua tukang tilik yang mengambil upah menilik dan meramalkan masa depan pelanggan bertemu malang kerana tidak dapat menilik dan meramalkan masa depan mereka.

    Pegawai penguat kuasa Jabatan Imigresen cawangan Belait menahan dua orang lelaki warga China kerana dipercayai menjalankan kegiatan yang melanggar peraturan dan undang-undang imigresen. Jabatan Imigresen dalam laporannya berkata kedua-dua lelaki terbabit dipercayai melakukan kegiatan menilik nasib ketika berada di negara ini dan melakukan kegiatan itu ketika menggunakan Pas Melawat.

    Menurut jabatan berkenaan, sepasukan empat orang pegawai imigresen menjalankan rondaan dan bertemu kedua-dua lelaki itu menjalankan kegiatan mencurigakan. Mereka membuat intipan kira-kira dua jam sebelum membuat serbuan.

    Sebelum ditahan salah seorang daripada lelaki terbabit sedang berinteraksi dengan seorang pekerja sebuah salun kecantikan bagi menawarkan khidmat menilik nasib.

    Ketika pemeriksaan mengejut ke atasnya, beg tangan milik mereka didapati menyimpan barang-barang kegunaan menilik nasib mengikut kepercayaan orang Cina serta wang $50 dipercayai bayaran pelanggan atas khidmat mereka. Barang-barang itu dirampas untuk siasatan lanjut.

    Sementara itu, seorang lagi lelaki terbabit cuba bersembunyi setelah menyedari kawannya diberkas tetapi dia berjaya ditahan dan dia juga didapati membawa beg berisi barang-barang keperluan menilik nasib.

    Siasatan mendapati kedua-dua lelaki yang berusia 40an dan 50an itu menggunakan kebenaran Pas Melawat untuk masuk ke negara ini.

    Kedua-dua lelaki terbabit dipercayai melakukan kegiatan itu dengan mengunjungi dari rumah ke rumah di kawasan perumahan Kampung Cina di sini untuk menawarkan khidmat perniagaan itu.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda