Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Jan – Bekas pegawai polis yang berpangkat penguasa dan seorang ahli perniagaan warga Malaysia didapati bersalah selepas perbicaraan oleh Mahkamah Majistret, hari ini, atas pertuduhan rasuah.
Majistret Kanan Muhammed Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli menjatuhi hukuman 18 bulan penjara terhadap Liew Say Koo yang merupakan Pengarah Urusan Say Koo (Liew) Sdn Bhd dan L & E Contractor.
Hukuman ke atas Liew Say Koo bagaimanapun dikuatkuasa pada 18 Oktober 2016.
Sementara hukuman terhadap Haji Khairul Rijar bin Haji Abu Salim yang merupakan bekas ketua Unit Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei akan diketahui pada 14 Februari 2019.
Siasatan yang dijalankan oleh Biro Mencegah Rasuah (BMR) mendapati Haji Khairul Rijar menerima suapan berupa sebuah kereta dari Liew Say Koo sekitar tahun 2012, sebagai ganjaran kerana membantunya untuk masuk dan keluar dari Brunei Darussalam berulang kali antara tahun 2011 dan 2013.
Liew Say Koo adalah pendatang yang ditegah dari memasuki Brunei Darussalam selepas dikeluarkan dari negara ini pada 17 November 2007.
Haji Khairul Rijar membantu Liew Say Koo, dengan membuat permohonan bagi pihak pesuruhjaya Polis Diraja Brunei dan pengarah Jabatan Siasatan Jenayah untuk ditujukan kepada pengarah Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan dengan menyatakan Liew Say Koo diperlukan untuk membantu siasatan polis.
Haji Khairul Rijar turut didakwa menyalahgunakan jawatannya apabila menerima sebuah kereta, dan Liew Say Koo pula mengetahui bahawa Haji Khairul Rijar adalah seorang pegawai polis.
Haji Khairul Rijar masih ditahan di bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri.
Pendakwaan terhadap tertuduh dibuat Timbalan Pendakwa Raya Shamshuddin bin Haji Kamaluddin dan Pengiran Nor ‘Azmeena binti Pengiran Haji Mohiddin manakala Liew Say Koo diwakili Peguambela Roy Prabrakaran dan Haji Khairul Rijar pula tidak diwakili.