Sunday, July 13, 2025
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nasib pencuri diketahui 7 Sept

    Oleh Rafidah Jumat

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 SEPT – Seorang lelaki warga Malaysia yang mengaku bersalah mencuri daripada majikannya akan mengetahui nasibnya pada 7 September ini di Mahkamah Majistret.

    Tarikh sebutan hukuman ditetapkan Majistret Kamaliah Fadhilah binti Haji Ibrahim terhadap Chang Teck Peng, 52, yang melakukan kesalahan dalam dua kejadian berasingan pada 17 dan 21 Ogos 2019.

    Tertuduh yang bekerja sebagai pakar penghawa dingin kereta di bengkel kereta telah mencuri wang $50 yang merupakan bayaran daripada pelanggan sebaik selesai membaiki keretanya.

    Dalam kejadian lain, dia sekali lagi mencuri $760 yang dibayar pelanggan untuk membaiki keretanya.

    Tertuduh dalam kata rayuan memohon mahkamah untuk hukuman diringankan dan meminta hukuman yang bukan berbentuk penjara dijatuhi ke atasnya atas alasan perlu menjaga bapanya yang berusia 81 tahun dan juga ibunya berusia 74 tahun.

    Tertuduh mendakwa hanya menggunakan wang itu untuk dikirim kepada ibu bapanya di Sibu dan berhasrat untuk membayarnya semula melalui potongan komisen daripada majikannya.

    Majikannya yang menyedari terdapat kekurangan jumlah dalam akaun syarikat terus memeriksa rakaman CCTV yang dipasang dalam bengkel dan mendapati perbuatan tertuduh.

    Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Syazwani binti Jumat.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda