Tuesday, March 18, 2025
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nasib penipu diketahui 31 Ogos ini

    Oleh Fadley Faisal

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OGOS – Seorang lelaki berusia 21 tahun akan mengetahui nasibnya pada 31 Ogos 2019 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, hari ini, atas dakwaan menipu dan penggubahan wang haram.

    Majistret Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman mempertimbangkan hukuman yang sesuai dan mengarahkan Muhammad Izwan Zulhasree bin Muhammad Aliyas ditahan reman sementara menunggu keputusan.

    Timbalan Pendakwa Raya Dayangku Didi-Nuraza binti Pengiran Latiff dalam pendakwaannya menyatakan bahawa defendan telah ditahan pihak polis pada 26 Ogos 2019 susulan laporan penipuan.

    Pihak polis mendapati bahawa defendan memuat naik iklan di Facebook, bagi pihak adiknya, untuk mencari orang yang menjual alat ganti kotak gear kereta pada 10 malam, 29 Julai 2019. Defendan kemudian berpura-pura menjadi orang lain dan menghantar mesej kepada iklan yang dihantarnya, meminta nombor untuk dihubungi.

    Defendan dan dirinya sebagai ‘penjual’, berbincang di WhatsApp menawarkan jualan alat ganti kotak gear pada harga $90. Kemudian defendan sebagai dirinya, memaklumkan adiknya mengenai tawaran itu.

    Adik defendan berminat dengan tawaran itu yang membawa kepada pembukaan satu ruang sembang antara defendan, adiknya dan defendan sebagai penjual.

    Setelah mencapai persetujuan, ‘penjual’ meminta defendan membuat deposit sebanyak $50 ke dalam satu akaun bank yang telah dibayar pada 30 Julai 2019.

    Pada hari sama, adik defendan diminta untuk menambah bayaran dan dia bersetuju dengan memasukkan $16 lagi ke dalam akaun tersebut.

    Kemudian, adik defendan membuat laporan polis setelah rasa sangsi dan tidak sabar kerana pertanyaannya mengenai bila barang berkenaan dihantar tidak dibalas langsung.

    Pada 3 Ogos jam 11 malam, defendan menipu seorang individu yang mencari orang yang menjual silinder gas. Dia berpura-pura sebagai pihak yang berminat untuk menjual.

    Kedua-dua belah pihak mencapai persetujuan dan defendan dibayar $120 ke dalam akaunnya bagi jualan dua silinder gas.

    Mangsa berasa tertipu apabila tidak mendapat respons langsung selepas pembayaran dibuat dan membuat laporan polis pada 8 Ogos 2019.

    Siasatan mendapati, defendan menipu adiknya dan seorang lagi mangsa untuk membeli token-token bagi permainan video dalam talian.

    Wang yang diperolehi daripada penipuan berkenaan adalah hasil jenayah dan pembelian token bagi permainan dalam talian menggunakan wang berkenaan dianggap penggubahan wang haram.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda