Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nasib ‘Ratu Sampah’ bakal diketahui

    STOCKHOLM, 17 JUN – Sebuah mahkamah di Sweden dijangka membuat keputusan hari ini, dalam perbicaraan jenayah alam sekitar terbesar negara itu, yang melibatkan seorang wanita yang menggelarkan dirinya ‘Ratu Sampah’ bersama empat individu lain yang dituduh membuang sisa toksik secara haram.

    Syarikat pengurusan sisa terkenal, Think Pink, didakwa membuang atau menimbus kira-kira 200,000 tan sisa buangan dari kawasan Stockholm di 21 lokasi antara tahun 2015 hingga 2020, tanpa sebarang niat untuk memproses sisa tersebut dengan betul.

    Pihak pendakwa telah memohon hukuman penjara enam tahun terhadap kelima-lima tertuduh, yang kesemuanya menafikan pertuduhan tersebut.

    Mahkamah daerah Sodertorn dijadual mengumumkan keputusan pada 11:00 pagi waktu tempatan.

    Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Think Pink, Bella Nilsson, yang pernah menggelarkan dirinya sebagai ‘Ratu Sampah’, didakwa atas kesalahan jenayah alam sekitar yang berat.

    Dua individu lain yang juga pernah memegang jawatan CEO, iaitu bekas suami Nilsson, Thomas Nilsson, pengasas syarikat itu, serta Leif-Ivan Karlsson, seorang usahawan eksentrik yang pernah muncul dalam rancangan realiti mengenai gaya hidup mewahnya – turut menghadapi pertuduhan yang sama dan berdepan hukuman setimpal.

    Turut didakwa ialah Robert Silversten dan Tobias Gustafsson, yang dituduh mengatur pengangkutan sisa buangan tersebut.

    Bella Nilsson, yang kini telah menukar nama kepada Fariba Vancor – memberitahu mahkamah bahawa Think Pink telah mematuhi undang-undang.

    Bella Nilsson menegaskan bahawa beliau adalah mangsa komplot pesaing perniagaan. – AFP

    Bella Nilsson hadir untuk perbicaraan kes pembuangan sisa toksik secara haram di Mahkamah Daerah Attunda di Stockholm, Sweden, pada 3 September 2024. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda