KUALA LUMPUR, 20 DIS – Pengumuman pelantikan ketua jurulatih baharu pasukan Malaysia oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tatkala skuad Harimau Malaya sedang ‘sibuk’ mengharungi kempen Piala ASEAN 2024 bukanlah perkara pelik.
Hal ini kerana ia sering dilakukan oleh pasukan kebangsaan dan kelab antarabangsa.
Contohnya, kelab Liga Perdana Inggeris, Manchester United yang mengumumkan pelantikan ketua jurulatih baharunya Ruben Amorim ketika penyerang legenda mereka Ruud van Nistelrooy sedang membimbing The Red Devils sebagai jurulatih interim.
Nasib Van Nistelrooy boleh dikatakan sama seperti yang sedang dilalui pengendali sementara pasukan negara Pau Marti Vicente apabila mereka perlu membimbing pasukan pada masa sama pelantikan ketua jurulatih baharu dibuat.
Perjalanan Van Nistelrooy seharusnya dijadikan panduan dan teladan kepada semua, terutamanya jurulatih baharu supaya lebih bersabar, kekal profesional, dan menghormati kontrak kerana setiap peristiwa pasti ada hikmahnya.
Bagaimanapun, dalam konteks Harimau Malaya, pengumuman pelantikan itu wajar dipertimbangkan untuk ditangguh hingga tamat kempen Piala ASEAN, bagi mengelakkan sebarang isu yang boleh mengganggu tumpuan skuad bimbingan Vicente dalam perjuangan mereka.
Kenyataan jurulatih dari Sepanyol itu mengundang kemarahan kebanyakan peminat terhadap FAM serta melabel keputusan pengumuman itu sebagai tidak menghormati pasukan dan barisan kejurulatihan, namun terdapat juga penyokong yang mempertahankan tindakan badan induk itu. – Bernama
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2024/12/P22-4-Bernama-web_21122024.jpg)