Thursday, December 26, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nasihat atau ugutan?

    MENGUGUT anak. Ramai antara ibu bapa hari ini menggunakan pendekatan sebegini dalam mendidik dan mendisiplinkan anak, terutama jika mereka enggan mendengar nasihat atau mudah teruja dengan sesuatu.

    Ada yang berpendapat tindakan mengugut keterlaluan berikutan boleh merosakkan emosi dan pemikiran anak. Namun, jika dilihat dari sudut lebih luas, ada pendapat mengatakan tindakan mengugut masih boleh membantu mendisiplinkan anak, asalkan ia dilakukan dengan cara yang betul.

    Menurut penulis buku keibubapaan, Adlil Rajiah Mohd Nasir, mengugut boleh dikatakan sudah menjadi sebahagian daripada budaya mendidik anak dalam kalangan masyarakat di negara ini.

    Kebanyakan ibu bapa memilih cara itu dengan tujuan menakut-nakutkan anak. Namun, tanpa disedari, didikan sedemikian sebenarnya membawa lebih banyak kesan buruk pada masa akan datang.

    “Secara peribadi, dalam situasi tertentu, kaedah ini mungkin perlu dan berkesan dalam mendidik anak. Contohnya, apabila anak enggan mengemas mainan selepas bermain, kita boleh cakap begini, ‘Dalam kiraan 10, kalau tidak kemas juga, mama akan simpan mainan ini di atas almari dan kamu tak boleh main selama dua hari’.

    Sentiasa cari masa untuk sesi pelukan dengan anak-anak. Kajian mengatakan, sesi pelukan adalah waktu paling ajaib dan efektif untuk kita terapkan kata-kata dan nasihat yang baik kepada anak. – Gambar hiasan

    “Menurut kajian, kaedah ini dipanggil sebagai ‘ugutan munasabah’. Kita beri anak pilihan dan ruang untuk mereka berfikir mengenai natijah sikap yang dia tunjukkan.

    “Namun, janganlah kita ugut dengan sesuatu yang kita sendiri tidak mampu lakukan. Contohnya, ‘Kalau tak kemas mainan ini, mama akan buang dalam tong sampah’. Padahal kita tidak pernah buang pun.

    “Lama kelamaan, anak akan tahu itu sekadar penipuan untuk sekadar ‘menakut-nakutkan’. Ugutan sebegini bukan saja tidak berkesan, malah secara tidak langsung mengajar anak menipu. Justeru, tidak hairanlah bila anak besar, dia pula yang akan gunakan teknik yang sama untuk membuli adik-beradik atau kawan-kawannya,” katanya.

    Jelas Rajiah, satu lagi kaedah ugutan yang tidak berkesan dalam mendidik anak-anak adalah penggunaan ‘ayat tergantung’. Jika diperhatikan, golongan ibu memang suka menggunakan ayat yang satu ini, ‘Biar mainan itu bersepah, nanti ayah kamu balik…siaplah!’

    Ramai juga ibu bapa suka mengugut anak dengan ayat sebegini, ‘Kemas mainan ini sekarang. Kalau tidak…’

    “Ayat tergantung atau tidak lengkap sebegini tidak berkesan kerana gagal memberi anak gambaran jelas mengenai pilihan yang ada, sebelum mereka membuat sebarang keputusan.

    “Andai tersilap langkah, ia akan membuat anak bertambah takut dengan kesan yang bakal diterima selepas itu. Sedangkan, untuk mendisiplin anak, kita sepatutnya menjelaskan anak mengenai situasi, bukan membuat mereka takut tanpa sebab,” katanya.

    Anak murung

    Melihat cara pemikiran anak zaman ini, teknik mengugut dalam mendidik mungkin boleh menjejaskan aspek psikologi dan mengubah perilaku mereka menjadi lebih keras.

    Kata Rajiah, beliau juga percaya ugutan hanya akan membuat anak lebih sukar untuk mendengar kata, berbanding cara lembut dan tenang.

    “Lontaran suara ketika kita mengugut anak juga biasanya kasar dan kurang enak didengar. Sedangkan cara percakapan adalah kemahiran yang anak contohi dan warisi daripada kita. Mereka lihat, dengar dan ikut.

    “Sebaik-baiknya, nasihat dulu secara berhemah. Beri mereka teguran yang jelas tanpa sebarang ugutan. Melalui cara ini, anak lebih mudah faham dan dalam masa sama, mereka mempelajari sisi matang kita sebagai ibu bapa,” katanya.

    Memetik hasil kajian berkaitan, Rajiah berkata, anak yang sentiasa diugut dan ditakut-takutkan cenderung memiliki keyakinan diri yang rendah, tidak berdaya saing, murung, tidak pandai bergaul dan sukar mengekalkan perhubungan dengan orang sekeliling.

    “Malah, ada juga kajian mengatakan anak ini akan menjadi seorang yang suka membuli dan mengugut rakan di sekolah serta mudah terbabit dalam masalah sosial atau jenayah pada masa depan,” katanya.

    Kebanyakan ibu bapa memilih cara mengugut itu dengan tujuan menakut-nakutkan anak. Namun, tanpa disedari, didikan sedemikian sebenarnya membawa lebih banyak kesan buruk pada masa akan datang. – Gambar hiasan
    Memetik hasil kajian berkaitan, Rajiah berkata, anak yang sentiasa diugut dan ditakut-takutkan cenderung memiliki keyakinan diri yang rendah, tidak berdaya saing, murung, tidak pandai bergaul dan sukar mengekalkan perhubungan dengan orang sekeliling. – Gambar hiasan

    Beri teladan yang baik

    Satu-satunya kaedah paling berkesan dalam mendidik anak adalah dengan mewujudkan suasana komunikasi yang baik. Kata Rajiah, beliau sentiasa percaya pada konsep ‘kepimpinan melalui teladan’.

    “Nasihat dan teguran semata-mata adalah membuang masa. Ini kerana, anak banyak belajar daripada apa yang mereka lihat, dengar dan perhatikan daripada sikap ibu bapa sendiri.

    “Jika mahu anak menghormati ibu bapa, kita haruslah terlebih dulu hormat kepada anak dan orang sekeliling. Jika hendak anak sayangkan ibu bapa, ibu bapa dulu perlu tunjukkan kasih sayang kepada anak.

    “Nak anak dengar kata, ibu bapa dulu perlu banyak meluangkan masa mendengar suara, luahan dan rintihan anak-anak. Hendak anak bercakap perkara baik-baik dan lemah lembut, ibu bapa dulu perlu awasi bahasa dan gaya percakapan yang dituturkan seharian, walaupun sewaktu ketiadaan anak-anak.

    “Semuanya bermula dengan kita, ibu bapa. Jadi contoh yang baik kepada anak-anak, sebelum kita harapkan anak menunjukkan sikap dan teladan yang baik,” katanya.

    Mengambil kira pengaruh dunia digital kini, Rajiah turut menyarankan ibu bapa supaya mewujudkan zon tanpa gajet di rumah. Disiplin itu harus diterapkan di ruang keluarga seperti ruang makan, ruang tamu dan bilik tidur.

    “Haramkan penggunaan gajet di ruang ini dan galakkan interaksi keluarga. Berbual, bergurau senda, bertanya khabar dan sebagainya. Untuk mulakan peraturan ini, setiap ahli keluarga perlu duduk berbincang. Pastikan semua faham dan patuhi penetapan zon ini, termasuklah ibu bapa. Ingat, kepimpinan melalui teladan.

    “Pada hujung minggu atau hari cuti, haramkan anak berkurung di dalam bilik dengan gajet masing-masing. Jalankan aktiviti keluarga seperti berkelah, beriadah, mandi air terjun, main layang-layang dan sebagainya.

    “Elakkan pertembungan emosi yang membawa kepada ugutan terhadap anak. Ia mungkin perlu bila anak-anak tidak mendengar kata dan kurang jelas dengan kesan yang bakal dihadapinya. Selebihnya, cuba beri teladan yang baik untuk ikutan anak-anak,” katanya.

    6 tip anak mendengar kata

    1-Setiap kali anak berkelakuan tidak baik, jangan menidakkan atau membangkang perasaan mereka. Sebaliknya bantu mereka mengenali dan mengendali perasaan berkenaan.

    2-Apabila anak bercakap atau meluahkan sesuatu, dengar dan beri sepenuh perhatian, seperti mana kita mahu anak mendengar dan beri perhatian ketika kita sedang bercakap.

    3-Jangan terlalu cepat menyalahkan dan mengugut anak apabila berlaku sesuatu. Sebaliknya beri ruang kepada mereka untuk berfikir dan buat keputusan.

    4-Sentiasa cari masa untuk sesi pelukan dengan anak-anak. Kajian mengatakan, sesi pelukan adalah waktu paling ajaib dan efektif untuk kita terapkan kata-kata dan nasihat yang baik kepada anak.

    5-Jangan ego untuk meminta maaf, jika sedar kita membuat salah. Kalau mahu anak mudah mengaku kesilapan, kita dulu perlu mudah mengaku kesilapan dan minta maaf.

    6-Jangan ego untuk mengucap kata terima kasih kepada anak-anak. Contohnya, ‘Terima kasih sayang, sebab dengar cakap mama’. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda