Setelah sukses ditayangkan di Indonesia pada April lalu, filem biografi yang paling dinantikan ramai, Buya Hamka kini memasuki pawagam di Malaysia bermula 15 Jun lalu.
Menurut SinarPlus, naskhah arahan Fajar Bustomi ini sangat istimewa dan merupakan sebuah karya yang menyingkap kisah hidup dan perjuangan seorang tokoh hebat kelahiran Indonesia, Hamka atau nama sebenarnya Haji Abdul Malik Karim Amrullah.
Beliau bukan sahaja berjasa kepada bangsanya, tetapi juga masyarakat Nusantara yang menyanjungnya sebagai ulama dan sasterawan ulung.
Tidak mahu meninggalkan bahagian-bahagian penting daripada kisah panjang tokoh ini, filem terbitan Falcon Pictures & Starvison Plus itu dibahagikan kepada tiga volume berbeza yang dimulai dengan filem pertama ini.
Buya Hamka Vol. 1 ini akan menampilkan era di mana Hamka menjadi pengurus Muhammadiyah di Makassar dan berhasil memberikan kemajuan pesat pada organisasi tersebut.

Hamka juga mulai membuat penulisan sastera dan karya tulisannya itu disukai para pembaca. Beliau dan keluarganya kemudian berpindah ke Medan selepas ditugaskan sebagai pemimpin redaksi majalah Pedoman Masyarakat.
Peranan itu akhirnya membawa kepada perjuangan Hamka mempertahankan bangsa dan tanah airnya menerusi penulisan sehingga mendapat perhatian Jepun yang berkuasa ketika itu.
Bagaimanapun usaha Hamka melakukan pendekatan jalan tengah kepada Jepun disalah anggap sebagai ‘penjilat’ dan dimusuhi masyarakat sehingga diminta mengundurkan diri daripada jawatannya sebagai pengurus Muhammadiyah.
Semestinya bukan satu tugas mudah buat pengarahnya untuk menggarap filem yang melibatkan tokoh tersohor ini, tetapi Fajar Bustomi dilihat berjaya memberi peluang kepada penonton untuk mengenali sisi sebenar seorang Hamka.
Sosok yang cukup dikagumi sebagai ulama dan penulis luar biasa itu digambarkan dengan penuh sederhana, tetapi cukup memberikan inspirasi dalam setiap apa yang dilakukan, malah terhadap orang di sekeliling, terutama isterinya, Siti Raham. – Agensi