PETALING JAYA, 2 JAN – Jaguh tenpin boling wanita Malaysia, Natasha Mohamed Roslan menganggap misinya ke venue baharu Piala Dunia 2025 di Kowloon, Hong Kong kali ini membawa misi serampang dua mata.
Kunjungannya ke Pusat Tenpin Boling Top Bowl, Kai Tak Sports Park, Kowloon itu bukan sahaja untuk memastikan membawa pulang pingat Piala Dunia buat Malaysia tetapi juga menjadi medan pemanas badan terbaik dalam usahanya mempertahankan gelaran Juara Dunia yang dimenanginya pada edisi 2023 di Kuwait.
Kejohanan Tenpin Boling Piala Dunia akan diadakan pada 5 hingga 14 Januari manakala Kejohanan Dunia pula berlangsung pada 24 November hingga 6 Disember.
“Sekiranya dapat main di sana, kami sudah tahu keadaan suhu sama ada panas atau sejuk.
“Kesemua itu memainkan peranan antaranya saiz ibu jari sama ada longgar atau tidak, ia bergantung kepada suhu ketika di lorong,” katanya kepada Bernama semasa ditemui pada sesi latihan baru-baru ini.
Selain penyertaan acara perseorangan, Natasha juga akan bergandingan dengan Sin Li Jane, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman dan Gillian Lim dalam acara berpasukan wanita.
Bagi kategori lelaki pula, Malaysia menyenaraikan bekas juara dunia, Muhammad Rafiq Ismail, Timmy Tan, Tun Hakim Tun Hasnul Azam dan Ahmad Muaz Mohd Fishol. – Bernama