Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 25 Feb – Bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-34 tahun 2018, Pusat Membeli-Belah KBSentral telah menganjurkan acara National Day Night Ride, di sini, malam tadi.
Acara yang dikendalikan dengan kerjasama Kelab Basikal Belait itu telah bermula di kawasan letak kereta KBSentral kira-kira jam 8 malam dengan pelepasannya disempurnakan oleh pihak penganjur.
Hampir 100 orang dalam kalangan peminat aktiviti berbasikal di daerah ini telah menyertai acara tersebut, yang antara lain bertujuan untuk mempromosikan minat berbasikal dan meningkatkan usaha mengamalkan cara hidup yang sihat dalam kalangan masyarakat.

Selain itu, ia juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang keselamatan berbasikal dengan memakai topi keledar, pakaian dan keperluan lainnya yang membantu mengelakkan para penunggang basikal daripada bahaya terutama sekali pada waktu malam.
Kesemua peserta juga berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah yang disediakan oleh penganjur.
Penyertaan tersebut dibukakan secara percuma dan mereka dimestikan memakai pakaian dan keperluan berbasikal pada waktu malam yang telah ditetapkan.