NEW YORK, 31 OGOS – Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) sepatutnya dibubarkan pada 1990 kerana pakatan itu sudah pun menyempurnakan misinya menentang Kesatuan Soviet, kata ahli ekonomi terkemuka Amerika Syarikat (AS) dan Pengarah Pusat Pembangunan Mampan di Universiti Columbia, Jeffrey Sachs dalam wawancara bersama RIA Novosti.
Temu bual itu diadakan menjelang Forum Ekonomi Timur yang dijadual berlangsung di Vladivostok dari 3 hingga 6 September.
Sachs akan menyertai sesi bertajuk Agenda Pembangunan PBB Selepas 2030.
“Pertama sekali, NATO sepatutnya berakhir pada 1990 apabila Presiden Gorbachev menamatkan Pakatan Warsaw.
“Ketika itu negara-negara Barat seharusnya berkata ya, dan kita bubarkan NATO.
“Sebaliknya, ia berubah menjadi mekanisme peluasan kuasa AS, sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.
“Gerakan NATO ke arah timur sejak 1990 sama sekali tidak wajar dan bertentangan dengan janji-janji Barat,” katanya.

Sachs turut menyuarakan keraguan terhadap kemampuan Eropah membentuk kerangka keselamatan bebas bagi menggantikan NATO.
“Masalah Eropah ialah seperti semua orang tahu, sebenarnya tiada sebuah ‘Eropah’ yang bersatu.
“Terlalu banyak negara yang sering bertelagah antara satu sama lain,” katanya sambil menekankan bahawa benua itu sudah berperang sesama sendiri selama 1,000 tahun.
Pada Februari 2024, Presiden Rusia, Vladimir Putin berkata dalam wawancara bersama wartawan AS, Tucker Carlson, bahawa Rusia berpotensi menjadi anggota NATO pada awal 2000an jika AS benar-benar menunjukkan minat.
Namun, menurut Putin, Presiden Bill Clinton ketika itu ‘bersikap dingin’ terhadap idea itu. – Bernama

