Monday, May 12, 2025
27.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Natxo tekad bantu Harimau Malaya di Piala Asia

    KUALA LUMPUR, 1 JAN – Natxo Insa, pemain tengah berketurunan Sepanyol-Malaysia, yang gembira terpilih menyertai Harimau Malaya, bertekad untuk melakukan yang terbaik dalam membantu Malaysia di Piala Asia 2023 di Dota Qatar dari 12 Januari hingga 10 Februari.

    Dengan pengalaman 20 tahun sebagai pemain bola sepak profesional, pemain Johor Darul Ta’zim berusia 37 tahun itu berkata beliau kini lebih matang dan mampu mengekalkan ketenangannya pada perlawanan bertekanan tinggi, yang tentunya akan dapat dimanfaatkan oleh skuad bimbingan Kim Pan Gon itu.

    “Kita ada pemain yang bagus, pemain muda, juga pemain lebih muda yang bermain banyak perlawanan tahun ini mereka mempunyai pengalaman yang bagus, jadi saya rasa ia akan jadi yang terbaik untuk semua,” katanya ketika ditemui sebelum pasukan berlepas ke Doha, Qatar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, malam tadi.

    Malaysia yang menamatkan penantian 42 tahun untuk layak ke Piala Asia secara merit, akan memulakan kempen Kumpulan E mereka, dengan menentang Jordan pada 15 Januari, diikuti Bahrain (20 Januari) dan juara dua kali Korea Selatan pada 25 Januari.

    Walaupun akan berhadapan dengan pasukan berkedudukan lebih tinggi dalam kumpulan itu, Natxo percaya Malaysia berpeluang untuk layak ke pusingan 16.

    “Tentunya mereka (pasukan lawan) merupakan pasukan yang bagus, tetapi saya rasa kita juga mempunyai pasukan yang bagus jadi kenapa kita tidak boleh melepasi peringkat kumpulan. Saya rasa kita perlu percaya dan lihat satu perlawanan demi satu perlawanan dan bekerja keras,” katanya.

    Hanya juara dan tempat kedua setiap kumpulan, bersama empat pasukan tempat ketiga terbaik, akan layak ke pusingan 16 di Doha.

    Malaysia tidak pernah layak ke pusingan 16 Piala Asia pada tiga edisi sebelum ini.– Bernama

    Pan Gon berkata pemilihan Natxo ke dalam skuad diharap dapat memperkukuhkan lagi pasukannya. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda