Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MEI – Naubat kini sempurna dibuka semula berikutan dengan kembalinya kerahmatullah Yang Amat Mulia Pengiran Putera Negara Pengiran Haji Umar bin Pengiran Datu Penghulu Pengiran Haji Apong pada 12 Mei 2023 bersamaan 21 Syawal 1444.
Majlis Istiadat Membuka Naubat berlangsung di Lapau di sini di hadapan Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz bin Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar dan disempurnakan oleh Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Seri Dewa Mejar Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Mohammad bin Haji Daud.
Bacaan tahlil dipimpin oleh Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Suhaili bin Haji Mohiddin yang juga turut membacakan Doa Tahlil dan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.
Majlis disusuli dengan sembahyang Fardu Maghrib berjemaah yang diimamkan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Mustapa bin Haji Murad.
Berikutan kembalinya kerahmatullah YAM Pengiran Putera Negara Pengiran Haji Umar, Naubat ditutup selama 20 hari.
Berangkat dan hadir pada majlis tersebut ialah pengiran-pengiran cheteria, menteri-menteri kabinet, ahli-ahli Majlis-Majlis Mesyuarat, timbalan-timbalan menteri, pengiran-pengiran peranakan, pehin-pehin manteri, manteri-manteri hulubalang dan manteri-manteri pendalaman serta para jemputan.