Khamis, November 20, 2025
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Naubat sempurna dibuka semula

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 NOV – Pembukaan semula Naubat telah selamat disempurnakan setelah ditutup selama tujuh hari berikutan kembalinya ke rahmatullah Allahyarhamah Pengiran Anak Hajah Kamilah binti Pengiran Indera Mahkota Pengiran Anak (Dr) Kemaluddin Al-Haj.

    Majlis Istiadat Membuka Naubat telah berlangsung di Bangunan Lapau, Bandar Seri Begawan dengan penuh adat istiadat di hadapan Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz bin Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar.

    Majlis Istiadat Membuka Naubat telah berlangsung di Bangunan Lapau, Bandar Seri Begawan dengan penuh adat istiadat di hadapan YAM Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz. – GAMBAR-GAMBAR OLEH INFOFOTO

    Majlis dimulakan dengan bacaan tahlil yang dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar dan seterusnya membacakan Doa Tahlil dan diikuti dengan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

    Majlis disusuli dengan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah yang telah diimamkan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim.

    Setelah itu, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Yusof, Begawan-Begawan Pehin Khatib, manteri istana dan manteri hulubalang bertolak ke Qashr Al-Meezan untuk mengadap dan menyembahkan kehadapan majlis Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Timbalan Sultan bahawa Majlis Istiadat Membuka Naubat setelah Naubat ditutup selama tujuh hari.

    Allahyarhamah Pengiran Anak Hajah Kamilah kembali ke rahmatullah pada Khamis, 21 Jamadilawal 1447 bersamaan 13 November 2025, pada jam 3:46 pagi.

    Antara yang hadir pada majlis tersebut ialah pengiran-pengiran cheteria, menteri-menteri kabinet, ahli-ahli Majlis-Majlis Mesyuarat, timbalan-timbalan menteri, pengiran-pengiran peranakan, pehin-pehin manteri, manteri-manteri hulubalang dan manteri-manteri pedalaman serta para jemputan.

    Sementara itu, di Istana Nurul Iman, Naubat juga dititir sebelum masuk waktu Sembahyang Fardu Maghrib.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda