Penyanyi Naufal Azrin tidak menganggap kontroversi memberi kesan biarpun pernah dikecam teruk soal imej dan penampilan.
Naufal atau nama sebenarnya, Ahmad Naufal Azrin, 25, berkata dia sudah mampu menepis kata-kata yang boleh menjatuhkan dirinya dan hanya mengambil perkara positif sebagai pendorong semangat.
“Saya tidak ambil kisah apa yang orang nak cakap. Nak cakap apa, cakaplah.
“Selagi emak restu dengan jalan kerja saya, biarlah orang nak cakap apapun. Janji tidak datang depan muka dan tumbuk saya.
“Boleh juga dikatakan saya sudah kalis dengan kecaman, kalau nak ‘tembak’ pun, ‘tembaklah’, insyaAllah saya boleh tepis,” katanya kepada BH Online.

Naufal yang mula menjinakkan diri dalam bidang lakonan juga mahu terus mengembangkan sayap seninya dalam bidang lakonan.
Katanya, dia seronok diberi peluang membintangi drama One Million Dollar Voice, meskipun masih banyak yang perlu diperbaiki sebagai pelakon.
“Berlakon antara pengalaman baharu, saya tak pernah berlakon dalam mana-mana drama.
“One Million Dollar Voice adalah drama pertama saya.
“Jujurnya, saya rasa seronok dapat bekerjasama dengan ramai pelakon sebab mereka tidak menghakimi saya. Misalnya, saya ada buat kesilapan dan sebagainya.
“Sebaliknya, rakan pelakon bantu dan ajar untuk buat saya lebih yakin. Saya buat apa yang saya rasa selesa dan pengarah suka, Alhamdulillah.
“Jadi, sekiranya ada tawaran, saya kena tengok watak dan skrip diberikan. Setakat ini, belum ada tawaran lagi, jadi saya mahu fokus dengan lagu baharu bersama Nuha Bahrin,” katanya. – Agensi