MOSCOW, 26 Dis – Pegawai pilihan raya Rusia semalam menghalang pemimpin pembangkang Rusia Alexei Navalny daripada bertanding jawatan presiden, mencetuskan desakan daripada beliau untuk memboikot undian tahun hadapan.
Pusat Suruhanjaya Pilihan Raya sebulat suara memutuskan bahawa pejuang anti-rasuah itu tidak layak untuk bertanding.
Navalny dilarang daripada bertanding disebabkan satu sabitan dalam kes penipuan yang telah dilihat sebagai hukuman politik. Beliau boleh bertanding sekiranya diberikan keizinan khas atau sabitannya itu dibatalkan.
Vladimir Putin dijangka akan memenangi penggal keempat dengan mudah dalam pilihan raya pada 18 Mac, dengan kadar kepopularannya mencecah 80 peratus.

Sejak sebulan lalu, Navalny telah melancarkan kempen untuk berhubung dengan penduduk di kawasan paling terpencil di kawasan Putin.
Navalny, 41, adalah pencabar paling serius yang telah dihadapi oleh Putin ketika beliau menjadi pemimpin, dan kes mahkamah ke atas beliau telah pun dilihat sebagai satu alat untuk menghalangnya daripada bertanding dalam pilihan raya.
Dalam mesej video yang dirakam lebih awal dan disiarkan beberapa minit selepas Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan keputusan, Navalny meminta penyokongnya memulaukan pengundian.
“Prosedur yang kami dijemput untuk mengambil bahagian bukannya satu pilihan raya,” kata beliau. “Hanya Putin dan calon yang telah dipilih oleh beliau akan mengambil bahagian.” – AP