MOSCOW, 19 APRIL – Perkhidmatan penjara Rusia berkata hari ini ia akan memindah pengkritik Kremlin Alexei Navalny ke hospital penjara, tatkala Kesatuan Eropah mengingatkan Moscow akan dituduh ‘bertanggungjawab’ atas keadaan kesihatannya.
Amerika Syarikat semalam mengugut Rusia dengan ‘akibatnya’ jika penentang terbesar Presiden Vladimir Putin – yang melancarkan mogok lapar tiga minggu lalu – meninggal dunia dalam penjara, dengan doktor peribadi Navalny mengingatkan pada hujung minggu bahawa dia mungkin mati ‘pada bila-bila masa.’
Pihak berkuasa penjara Rusia, yang telah melarang kumpulan perubatan Navalny daripada melawatnya, berkata doktornya telah memutuskan untuk memindahnya ke pusat perubatan di premis penjara lain di luar Moscow.
Namun pihak berkuasa menegaskan keadaan pengkritik itu ‘memuaskan’ dan berkata dia mengambil vitamin sebagai sebahagian daripada rawatan perubatan.
Kebimbangan mengenai nasib Navalny menambah lagi ketegangan yang meningkat di antara Moscow dan Barat mengenai pertambahan tentera Rusia di sepanjang sempadan Ukraine serta perbalahan diplomatik dengan negara anggota EU, Republik Czech.
Ketua dasar luar EU, Josep Borrell berkata pihak berkuasa Rusia akan dituduh ‘bertanggungjawab’ atas keadaan kesihatan Navalny’ ketika menteri luar dari 27 negara mengadakan rundingan secara maya.
Borrell menganggap keadaan Navalny ‘amat membimbangkan’ dan mengulang desakan menuntut Moscow membenarkan doktornya memeriksa beliau. – AFP
