Penyanyi Nayeon dari kumpulan K-pop terkenal, TWICE melancarkan album digital terbaharu berjudul ‘ABCD’ dan lagu utama ‘ABCD (Versi Lanjutan)’, baru-baru ini.
Album tersebut mengandungi empat versi lagu iaitu versi lanjutan ‘ABCD’, versi asal, serta versi instrumental bagi kedua-duanya.
Versi lanjutan ‘ABCD’ menampilkan bahagian tarian yang turut disertakan dalam video muzik ‘ABCD’, lagu utama dari mini album keduanya ‘NA’, yang dilancarkan pada 14 Jun lepas. Lagu itu mendapat sambutan hangat daripada penonton dalam dan luar negara berikutan melodi serta irama bersemangat, ditambah dengan persembahan bertenaga Nayeon dalam video muzik tersebut.
Lagu baharu ‘ABCD’ merupakan trek pop dance yang menggabungkan elemen hip-hop dan moden, menyerupai gaya diva pop awal 2000an. Lagu tersebut menonjolkan pesona Nayeon sepenuhnya, dengan lirik yang memukau seperti “I’ll teach you how to fall in love,” menjadikannya sebagai ‘ratu musim panas’ yang memikat hati ramai peminat pada musim panas ini.
Album ‘NA’ juga telah menduduki tangga teratas carta album mingguan Circle Chart (9 hingga 15 Jun) dan menarik perhatian media antarabangsa terkemuka seperti Rolling Stone dan Grammy.com. – Agensi
