Sunday, March 30, 2025
30.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    NBA pertimbangkan liga bola keranjang Eropah

    LOS ANGELES, 26 MAC – NBA akan menilai cadangan untuk mewujudkan liga bola keranjang Eropah, kata jurucakap kelmarin, selepas laporan terperinci mengenai pertandingan baharu yang mungkin melibatkan sehingga 10 pasukan.

    Laman web berita perniagaan sukan Sportico melaporkan bahawa pemilik liga akan mempertimbangkan rancangan yang merangkumi lapan hingga 10 pasukan, termasuk sehingga empat pasukan yang sudah beraksi di EuroLeague — pertandingan kelab utama Eropah.

    Liga yang dicadangkan ini juga akan menampilkan pasukan baharu di bandar-bandar seperti London dan Paris, yang mungkin bernilai sehingga $500 juta, menurut laporan Sportico yang memetik sumber yang mengetahui dengan langsung rancangan tersebut.

    Jurucakap NBA memberitahu AFP bahawa liga akan mempertimbangkan isu liga Eropah minggu ini, dengan menekankan bahawa sebarang pertandingan baharu akan dilancarkan ‘dalam kerjasama’ dengan FIBA, badan pengelola bola keranjang dunia.

    “Pada mesyuarat Lembaga Gabenor NBA minggu ini, liga akan melaporkan mengenai menubuhkan liga bola keranjang lelaki baharu di Eropah, dengan kerjasama bersama FIBA,” kata jurucakap tersebut.

    Khabar angin tentang NBA mengambil peranan lebih besar dalam bola keranjang Eropah telah tersebar selama beberapa bulan, dengan timbalan pesuruhjaya Mark Tatum berkata pada Oktober lalu terdapat ‘peluang yang belum diterokai’ untuk mengembangkan sukan tersebut di rantau ini.

    “Tidak diragukan lagi saya rasa ada peluang untuk permainan bola keranjang terus berkembang di Eropah,” kata Tatum dalam panggilan persidangan.

    “Dan, awda tahu, apa yang kami fokuskan adalah bekerjasama dengan FIBA dan rakan kongsi kami di Eropah untuk memanfaatkan peluang yang belum diterokai ini untuk lebih mengembangkan permainan bola keranjang di sana.”

    Sportico juga melaporkan bahawa di bawah cadangan yang sedang dipertimbangkan, NBA akan menjual slot francais tetap kepada pelabur luar, seperti dana kekayaan negara, modal swasta, individu kaya atau kelab bola keranjang Eropah yang sedia ada. – AFP

    Timbalan Pesuruhjaya NBA, Mark Tatum, berucap di Sidang Kemuncak Sukan dan Pembangunan Lestari sehari sebelum upacara pembukaan Sukan Olimpik Paris 2024. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda