Wednesday, July 16, 2025
32.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    NBT KB, Kelab Lion kumpul 77 pain darah

    Oleh Hajah Saemah Kepli

     

    KUALA BELAIT, 20 April – Dengan tema ‘Sumbang Darah Untuk Menyelamatkan Nyawa’, NBT Toyota Kuala Belait dengan kerjasama Kelab Lion Belait telah membukakan ruang pameran NBT di Perindustrian Ringan di sini, bagi kempen derma darah, hari ini.

    Kempen dari jam 8 hingga 11 pagi kemudian disambung dari jam 2 hingga 4 petang itu menerima sambutan yang menggalakkan daripada kalangan orang ramai, ahli-ahli Kelab Lion Belait dan kakitangan NBT Toyota Belait.

    Lebih 100 orang telah menyertai kempen tersebut dan sebanyak 77 pain darah telah berjaya dikumpulkan yang mana setiap peserta yang berjaya menyumbangkan darah turut menerima cenderahati berupa beg kudap-kudapan sumbangan NBT Toyota Belait.

    Dikendalikan bersama Unit Pendermaan Darah Hospital Suri Seri Begawan Kuala Belait, kempen itu antara lain bertujuan untuk mengeratkan kerjasama antara NBT Toyota Kuala Belait dan Kelab Lion Belait selain untuk mengajak penglibatan orang ramai terutamanya pelanggan dan rakan perniagaan syarikat untuk tampil bersama-sama melakukan aktiviti berkebajikan.

    Antara penderma darah bersama kakitangan NBT Toyota Kuala Belait dan ahli-ahli Kelab Lion Belait.

    Pengerusi kempen, Kevin Lim daripada Kelab Lion Belait memberitahu, aktiviti seperti itu dijangka akan diteruskan lagi dalam masa terdekat dengan hasrat untuk memberikan sokongan kepada Unit Pendermaan Darah, dalam usaha mereka mengumpulkan darah bagi keperluan pesakit-pesakit yang memerlukannya.

    Wakil dari NBT Toyota Belait, Audrey Yong pula merakamkan penghargaan kepada mereka yang telah meluangkan masa melibatkan diri memberikan sokongan ke atas kempen yang mereka anjurkan berkenaan.

    Beliau juga menyeru orang ramai yang mampu menyumbangkan darah supaya sentiasa tampil dalam memberikan sokongan kepada kempen-kempen derma darah yang diadakan oleh mana-mana penganjur di negara ini, khususnya di Daerah Belait.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda