Thursday, May 1, 2025
31.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    NDC tekan kepentingan dan kesedaran iklim

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 DIS – Negara Brunei Darussalam telah menyerahkan dokumen Nationally Determined Contribution (NDC) kepada Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) pada hari ini.

    Perkara berkenaan telah diumumkan oleh Majlis Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi bin Haji Gafar dan Menteri Tenaga, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny bin Haji Mohd Hussein.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pembangunan, NDC negara berhasrat untuk mengurangkan jumlah pelepasan gas-gas rumah hijau (GHG) sebanyak 20 peratus berbanding tahap Business-As-Usual menjelang 2030. Dalam mencapai sasaran pembangunan ekonomi yang mampan terutamanya melalui perkembangan dalam sektor perindustrian, pelepasan GHG negara dijangka akan meningkat kepada 29.5 MtCO2e.

    Akan tetapi dengan perlaksanaan langkah-langlah mitigasi di bawah NDC, peningkatan berkenaan dijangka akan dapat dikurangkan sebanyak 20 peratus menjelang tahun 2030.

    Menurut kenyataan itu lagi, pengurangan tersebut adalah berdasarkan kepada perlaksanaan strategi-strategi dalam Dasar Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam (BNCCP) iaitu, Strategi 1 – Pelepasan Industri; Strategi 2 – Liputan Hutan; Strategi 3 – Kenderaan Elektrik; Strategi 4 – Tenaga yang Boleh Diperbaharui; Strategi 5 – Pengurusan Tenaga; Strategi 6 – Harga Karbon; Strategi 7 – Pengurusan Sisa dan Strategi 9 – Inventori Karbon.

    Penggunaan tenaga suria atau tenaga yang boleh diperbaharui adalah antara perlaksanaan strategi-strategi dalam Dasar Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam.

    NDC turut menyentuh mengenai Strategi 8 iaitu Adaptasi dan Daya Tahan Iklim daripada dasar BNCCP yang menggariskan langkah-langkah bagi meningkatkan keupayaan negara dalam berhadapan dengan kesan-kesan akibat perubahan iklim.

    Di samping itu, NDC seterusnya menekankan kepentingan Strategi 10 mengenai Kesedaran dan Pendidikan dalam mitigtasi dan adaptasi iklim dengan mengutamakan penglibatan para belia dalam tindakan iklim.

    NDC turut mengejar matlamat dasar BNCCP iaitu peralihan ke arah negara yang rendah karbon serta berdaya tahan iklim.

    Peralihan berkenaan menjurus kepada pertumbuhan ‘industri hijau’ baharu yang akan mewujudkan peluang-peluang baharu bagi perniagaan, pelaburan, keusahawanan, perkhidmatan dan paling utama, pekerjaan ‘hijau’ yang baharu bagi anak-anak tempatan.

    Majlis Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam yang diterajui oleh Kementerian Pembangunan, Kementerian Tenaga, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan dan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi akan terus memainkan peranan penting dalam memastikan strategi-strategi tindakan iklim dilaksanakan dengan berkesan dan dipantau dengan teliti.

    Kenyataan menyatakan, NDC berkenaan mencerminkan kesungguhan Brunei dalam menangani isu perubahan iklim walaupun negara pada lazimnya adalah sebuah negara minyak dan gas selain antara penyumbang pelepasan GHG global yang terendah.

    Negara juga telah mempamerkan komitmen yang tinggi dalam menangani perubahan iklim di peringkat negara dengan harapan ia boleh membantu mempercepatkan perlaksanaan Perjanjian Paris.

    Ini seterusnya mencerminkan kepemimpinan negara dalam tindakan iklim diperingkat serantau selaku Pengerusi ASEAN 2021.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda