Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Feb – Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) petang tadi telah pun mengadakan Majlis Doa Kesyukuran bersempena Hari Puja Usia ke-44 Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Makhota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri yang juga selaku Pengerusi Majlis Bencana Kebangsaan.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri selaku Timbalan Pengerusi (Tetap) Majlis Bencana Kebangsaan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.
Turut hadir ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, ahli-ahli NDMC, para pegawai kanan, pegawai dan kakitangan jabatan-jabatan di kementerian berkenaan.
Majlis yang diadakan di Masjid Hassanal Bolkiah, Kampung Mentiri itu, dimulakan dengan solat Sunat Hajat dan diikuti dengan bacaan Surah Yasin dan Tahlil serta Dikir Asyrakal sebelum solat Fardu Asar yang dipimpin oleh imam masjid berkenaan.
Majlis kemudian diakhiri dengan bacaan Doa Kesyukuran Khas.