Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 SEPT – Parti Pembangunan Bangsa (NDP) telah meraikan ulang tahun penubuhannya yang ke-18 kelmarin di Dewan Syura Limbaruh Hijau, Markas Pusat NDP di Jerudong.
Pada majlis itu, Presiden NDP, Pengiran Haji Zainal bin Pengiran Haji Talip dalam ucapannya menegaskan pentingnya usaha untuk meningkatkan kedudukan NDP sebagai pelantar politik yang kukuh dan bertekad untuk kekal menjadi wadah yang mampu memelihara perjuangan mempertahankan bangsa dan tanah air tercinta.
Beliau turut menekankan perlunya memperkukuhkan barisan pelapis parti dengan merekrut lebih ramai ahli daripada kalangan generasi muda bagi memastikan kesinambungan perjuangan suci itu.
Di majlis itu, Setiausaha Agung NDP, Awang Ahmad Timpus telah mengulas pencapaian NDP selama 18 tahun perjalanan parti di mana penubuhan NDP sebagai respons terhadap isyarat daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk membawa pembaharuan dalam arena politik negara.
Sejarah penubuhan NDP berkait rapat dengan langkah pembentukan semula Majlis Mesyuarat Negara pada tahun 2004, selepas pembubarannya pada 13 Februari 1984.

Sejak penubuhannya 18 tahun yang lalu, NDP telah mengadakan 16 Kongres Agung Tahunan dan menghasilkan lebih 900 usul yang berkaitan dengan kesejahteraan rakyat dan negara.
Banyak daripada usul-usul ini, seperti pembinaan jambatan penghubung ke Temburong, peningkatan elaun pencen, isu pengangguran, kemiskinan, kesaksamaan wanita, perumahan dan kestabilan sosial telah diterima baik dan diimplementasikan, memperkuat peranan NDP dalam memberikan cadangan dan idea kepada pemerintah.
Dalam rangkaian ucapan, Pengerusi Tetap NDP, Haji Abdul Rahman Yusup, mengingatkan ahli-ahli parti tentang peranan rakyat dan pejuang-pejuang kemerdekaan terdahulu dalam sejarah kemerdekaan negara.
Majlis turut mendengarkan ucapan Pengerusi Lembaga Penasihat NDP, Malai Hassan yang antara lain menggariskan, tantangan sosioekonomi menjadi ujian tetapi juga pendorong untuk mencapai ekonomi yang lebih kukuh dan stabil.