Neelofa dan suami hantar wakil tarik balik tuduhan

Kes langgar prosedur operasi standard (SOP) membabitkan pasangan selebriti terkenal Noor Neelofa Mohd Noor dan suami, Muhammad Haris Mohd Ismail memasuki episod baharu apabila peguam mereka menghantar perwakilan ke Jabatan Peguam Negara untuk menarik balik pertuduhan tersebut.

Ia berhubung pelanggaran SOP, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sebuah kedai karpet di Nilai 3, Mei lalu.

Peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed yang mewakili pasangan itu berkata satu salinan perwakilan telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara kelmarin dan hari ini kepada pihak pendakwaan.

Wan Aizuddin berkata pihak pembelaan telah diberi masa satu bulan untuk mendapatkan maklum balas daripada pihak Jabatan Peguam Negara.

“Kami memohon kepada Peguam Negara untuk menggunakan budi bicara menarik balik pertuduhan terhadap anak guam kami.

Neelofa, 32, yang memakai jubah putih manakala Muhammad Haris, 23, berpakaian sut lengkap berwarna biru tiba di Kompleks Mahkamah Seremban, Negeri Sembilan pada hari ini.

Kes langgar prosedur operasi standard (SOP) membabitkan pasangan selebriti terkenal Noor Neelofa Mohd Noor dan suami, Muhammad Haris Mohd Ismail memasuki episod baharu apabila peguam mereka menghantar wakil ke Jabatan Peguam Negara. – Agensi

Pasangan ini berdepan pertuduhan pelanggaran SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sebuah premis permaidani di Nilai pada bulan Mei lalu.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Aling dalam prosiding mahkamah memaklumkan bahawa pihak pendakwaan juga telah menerima perwakilan daripada pihak pembelaan.

Majistret, Mohd Firdaus Saleh kemudian menetapkan 1 Disember sebagai tarikh sebutan semula kes tersebut.

Sebelum ini, pasangan selebriti itu mengaku tidak bersalah melanggar SOP PKPB ketika didakwa di Mahkamah Majistret Seremban pada 20 Mei lalu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan oleh mereka ketika berada di sebuah premis menjual permaidani di Nilai 3 pada 2 Mei lalu. – Agensi