“Neelofa impi lelaki yang boleh membawanya ke syurga, berjanggut dan beri tazkirah setiap malam Jumaat,” demikian perkongsian Noor Nabila Mohd Noor mengenai adiknya, Neelofa.
Nabila dan rakannya, Rosix mendedahkan ciri-ciri lelaki idaman Neelofa dalam video Q and A time with Rosix, Bella & Lofa yang dimuat naik menerusi saluran YouTube, semalam.
Bekas isteri pelakon Sharnaaz Ahmad itu berkata, adiknya juga seorang yang tegas dan berpendirian dalam bercinta.
“Lofa, kuat bekerja, sangat komited dan tegas. Dia menepati masa dan berpegang teguh pada kata-kata.
“Dahulu, Lofa tak tahu masak, tetapi sekarang sudah tahu. Dalam keluarga, Lofa bukan paling bersih, dia tak menang ‘award’ itu. Tetapi, Lofa sangat sayang pada anak-anak saudaranya.

“Walaupun duduk serumah, Lofa bukanlah suka bercerita masalah peribadi. Kami tidak banyak berkongsi mengenainya,” kata Nabila.
Sehingga kini, video berkenaan sudah ditonton hampir 300,000 sejak di muat naik, semalam.
Luahan Nabila seolah-olah membayangkan pelakon dan pendakwah bebas, Riz atau Haris Ismail, 25, adalah jodoh terbaik yang diimpikan Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH pada 2016 itu.
Terdahulu, kisah cinta Neelofa dan Riz terbongkar apabila keluarga Riz menghantar rombongan merisik pada 1 November lalu. Pasangan sama cantik, sama padan itu dikatakan bakal disatukan sebagai suami isteri, Mac tahun depan.
Bagaimanapun, hingga kini, Neelofa dan Riz terus mengunci mulut. – Agensi