Pernah beberapa kali dikatakan bakal berkahwin, selebriti terkenal Neelofa memberitahu dia tidak akan berkongsi perkara itu selagi belum ada kepastian.
Bagaimanapun Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor, 31, berkata, dia akan memberitahu berita gembira itu kepada umum sekiranya sudah mempunyai perancangan ke arah itu.
Bekas pengacara program MeleTOP ini juga memohon agar tiada lagi gosip berhubung soal kahwin namun berharap orang ramai mendoakan dia bertemu pasangan yang baik.
“Soal kahwin ini, bagi saya terlalu banyak sangat versi cerita dan pernah juga dikaitkan dengan beberapa orang sebelum ini. Saya tidak akan berkongsi atau berikan kata putus selagi perkara itu (kahwin) belum terjadi dalam hidup saya.
“Tapi saya akan beritahu rakan media kalaulah perkara yang baik ini akan berlaku. Saya gemar untuk berkongsikannya dengan semua orang. Apa yang boleh saya minta sekarang ialah doa yang baik.
“Doa agar saya menjadi anak, bertemu jodoh dan isteri yang baik. Itu saja yang saya minta. Tak mahulah orang buat gosip, buat telahan itu dan ini,” kata Neelofa.
Dalam pada itu, Neelofa memberitahu dia mungkin akan mendirikan rumah tangga dalam masa tiga atau empat tahun lagi dan menyedari usianya kini memang sesuai untuk ditanya soal kahwin.
“Kalau nak diikutkan pada usia saya sekarang, memang sudah logiklah untuk berkahwin. Memang relevan untuk ditanya hal itu. Sejujurnya, saya mungkin akan mendirikan rumah tangga dalam tiga atau empat tahun lagi.
“Sebab mengenangkan komitmen lain yang perlu saya selesaikan. Bagaimanapun ia mengikut kepada situasi, misalnya apa yang berlaku sekarang dan sebagainya,” ujarnya. – Agensi
