Selebriti popular, Neelofa, 32, memilih untuk terus berteka-teki dengan spekulasi berbadan dua apabila dilihat semakin berisi.
Bagaimanapun, isteri kepada pendakwah bebas, PU Riz itu tidak mengiyakan dan menidakkan spekulasi yang bertebaran sejak Julai lalu itu.
Neelofa menegaskan, berita gembira yang dinantikan ramai itu pasti dikongsi pada masa yang sesuai.
“Soalan hamil atau tidak agak sensitif untuk dijawab. Saya pastinya mempunyai alasan tersendiri.
“Jika nak katakan desas-desus ini betul atau tidak, saya sendiri menunggu masa terbaik untuk berkongsi.
“Ia pastinya menjadi berita gembira atas doa orang ramai. Bukan berita buruk untuk disorokkan,” katanya.
Neelofa ditemui pada majlis pengagihan sumbangan Bakul Kasih kerjasama Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Pertubuhan Kasih Neelofa (PKN) di Surau Al Mustaqim, Bukit Jalil, di sini, petang ini.
Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd Noor mengakui, ramai peminat teruja menanti berita kehamilannya.
“Sebagai orang dikenali, satu hal menarik apabila mendapat doa daripada orang yang tidak dikenali.
“Jadi, doa yang baik-baik. Saya perlukan semua doa ini untuk perlindungan,” katanya.
Neelofa berkata, dia dan suami tidak terlalu tertekan dan serius membincangkan soal cahaya mata.
“Kami baru kahwin dan masih dalam proses untuk membina kehidupan. Andai saya hamil, semestinya suami dan keluarga sangat teruja,” katanya.
Pada Julai lalu, kisah bekas pengacara MeleTOP itu kerap memegang dan mengusap bahagian perut mencuri perhatian dalam siaran langsung menerusi Instagram hingga mengundang spekulasi sudah berbadan dua. – Agensi