Monday, May 12, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Neelofa, PU Riz tak serik langgar SOP?

    Selepas majlis pernikahan Sabtu lalu disiasat berikutan didakwa tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Neelofa dan PU Riz sekali lagi menjadi tumpuan apabila tular pula beberapa gambar mereka dikatakan merentas negeri untuk berbulan madu di Langkawi.

    Menerusi gambar itu, Neelofa dan Riz atau nama sebenarnya Haris Ismail dilihat berada di lapangan terbang serta dalam penerbangan dipercayai menuju ke pulau peranginan itu.

    Rata-rata warganet tidak berpuas hati dan mempersoalkan bagaimana pasangan itu dibenarkan merentas negeri sebagaimana yang didakwa.

    Bagaimanapun, di sebaliknya ada juga yang berpendapat mereka menggunakan khidmat agensi pelancongan untuk merentas negeri.

    Pasangan berkenaan melangsungkan pernikahan dalam satu majlis tertutup di sebuah hotel terkemuka di sini, Sabtu lalu.

    Sebelum ini, MKN mengumumkan penduduk dari negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dibenarkan melancong, namun perlu menggunakan agensi pelancongan berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia berkuatkuasa 10 Mac lalu.

    Bagaimanapun, kebenaran merentas negeri hanya dibenarkan di antara negeri kategori PKPP saja.

    Berdasarkan laporan terbaharu MKN, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang, Kelantan dan Sarawak tertakluk sebagai enam negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), manakala lapan lagi negeri iaitu Kedah, Sabah, Terengganu, Sabah, Perak, Perlis, Negeri Sembilan dan Melaka pula di bawah PKPP.

    Semalam, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah mengesahkan keluarga Neelofa akan dipanggil memberi keterangan hari ini berhubung pematuhan SOP pada majlis pernikahannya.

    Terdahulu, tular satu gambar di media sosial mendakwa majlis perkahwinan selebriti itu tidak mematuhi SOP yang ditetapkan MKN sehingga mendapat kecaman ramai. – Agensi

    Neelofa dan Riz atau nama sebenarnya Haris Ismail dilihat berada di lapangan terbang serta dalam penerbangan. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda