Pengacara dan usahawan, Neelofa selamat melahirkan anak sulung di sebuah pusat perubatan kira-kita pukul 3:44 petang Sabtu lalu.
Suaminya, Haris Ismail atau PU Riz memaklumkan Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor dan anak damit mereka kini berada dalam keadaan baik.
Dalam pada itu, Haris turut memberitahu mereka memilih nama Muhammad Bilal untuk anak damit berkenaan.
“Alhamdulillahirabbil’alamin. Puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah SWT untuk segala berkat dan rahmat-Nya, isteri saya, Noor Neelofa Mohd Noor telah selamat melahirkan putera sulung kami pada 29 Januari 2022 jam 3:44 petang.
“Syukur Alhamdulillah, segala urusan dipermudahkan, kini isteri saya sedang berehat dan kami sedang melalui satu fasa yang sangat menggembirakan untuk kami sekeluarga,” ujarnya kepada mStar. Dalam pada itu, Haris turut mengucapkan terima kasih atas doa orang ramai terhadap dia dan isteri sejak mereka berkahwin.
“Saya dan Neelofa ingin merakamkan jutaan penghargaan dan rasa penuh bersyukur atas doa yang dikirim oleh awda semua.
“Terima kasih atas ingatan kalian sejak kami mendirikan rumah tangga sehingga kami menimang cahaya mata.
“Sebagaimana kalian mendoakan kesejahteraan saya dan isteri tahun lalu, mohon titipkan juga doa-doa yang baik agar zuriat yang berada di pangkuan kami ini mampu menjadi khalifah yang dapat memberikan kebaikan kepada agama dan negara,” ujarnya. – Agensi
