Friday, February 14, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Neelofa terus cemerlang dalam perniagaan

    KEBELAKANGAN ini, satu demi satu pencapaian membanggakan dilakar Noor Neelofa Mohd Noor. Sejak terjun dalam dunia seni lebih tujuh tahun lalu setelah memegang status Dewi Remaja 2009/10, nama dan figura bintang ini tidak pernah betah menjadi perhatian pencinta seni tempatan.

    Setiap inci aktivitinya menjadi buah mulut ramai, lebih-lebih lagi apabila empayar niaga Naelofar Hijab kian berkembang seterusnya menjadi antara jenama Islamik yang begitu sinonim dalam kalangan wanita berhijab.

    Mengakui hasil usaha dan keringat selama ini turut diiringi berkat doa keluarga dan peminat, Noor Neelofa atau lebih mesra disapa Lofa bagaimanapun tidak pernah menjadikan apa yang dimiliki sebagai sesuatu yang harus dibanggakan seorang diri.

    Sebaliknya, bintang berasal dari Kelantan ini optimis mahu berkongsi dengan memberi inspirasi kepada semua orang di luar sana.

    Terdahulu, Neelofa yang disenaraikan antara 300 individu terpilih dalam Forbes Under 30 Asia 2017 telah pun melancarkan rangkaian tudung terbaru di bawah label Naelofar Hijab, Helena di Damansara Perdana, baru-baru ini.

    Neelofa baru sahaja melancarkan koleksi tudung Helena di bawah label Naelofar Hijab.

    Koleksi Helena diinspirasikan daripada wataknya menerusi drama 20 episod, Red Velvet di samping Alif Satar. Turut sama beraksi di dalam drama terbitan Cube Film Sdn Bhd itu ialah Hafidz Roshdi, Amira Othaman dan ramai lagi.

    Tidak mudah melatah apabila ada menyifatkan kualiti lakonannya berada pada tahap ‘kayu’ oleh sesetengah netizen, Lofa yang mempunyai pengikut Instagram tertinggi di Malaysia itu juga menyeru penonton supaya menonton drama tersebut sehingga di kemuncak jalan cerita.

    “Bagi saya, sesetengah daripada mereka membuat andaian terlalu awal. Jalan ceritanya masih di peringkat awal. Berilah peluang untuk watak tersebut berkembang terlebih dahulu. Lihat apakah konflik dan apakah seterusnya yang akan berlaku. Ada yang hanya tahu nak kritik sahaja tetapi tidak mahu ambil masa untuk fahami betul-betul watak tersebut,” luah Lofa yang turut menambah, dia tidak kisah kritikan diterima kerana tidak beri kesan kepada kehidupannya.

    Ditanya pendirian Lofa terhadap watak Helena yang mengisahkan tentang cinta dengan lelaki berstatus suami orang di dalam drama tersebut, figura ini nyata rileks dan positif. Terang Lofa, paparan tersebut hanya di dalam episod pertama saja.

    “Pada peringkat awal, saya bimbang juga kerana ia mungkin beri kesan kurang baik. Namun kami ada berbincang dengan pihak Astro untuk tidak papar kisah tersebut secara mendalam. Lagipun ia hanyalah untuk episod pertama saja. Pun begitu, saya gemar karakter Helena yang sebenarnya sanggup ubah pendirian, tekad dengan keputusannya untuk enggan terima cinta itu,” tambah Lofa.

    Kongsinya, walau apa pun yang terjadi kena kuat dengan prinsip. Jangan lemah dan mudah kalah dengan pujukan lelaki. Meskipun Helena digambarkan sebagai gadis muda, namun dia tegas dengan pilihan dan pendirian.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda