BELEM, BRAZIL, 9 OGOS – Perwakilan negara hutan hujan di Afrika dan Asia Tenggara menyertai persidangan negara-negara Amazon di Brazil hari ini untuk memulakan langkah-langkah bersama dalam pemuliharaan kawasan yang kaya dengan ekologi yang penting dalam menangani perubahan iklim.
Kelmarin, para pemimpin dan menteri dari lapan negara Amazon menandatangani deklarasi yang merangkumi rancangan untuk mendorong pembangunan ekonomi di negara mereka sambil mencegah kemusnahan Amazon secara berterusan ‘sehingga ke penghujungnya’.
Sesetengah saintis berpendapat apabila 20 hingga 25 peratus hutan ini dimusnahkan, turunan hujan akan berkurang secara dramatik, mengubah lebih separuh hutan hujan menjadi savana tropika, dengan kerugian biodiversiti yang lebih besar.
Kelapan-lapan negara Bolivia, Brazil, Colombia, Ecuador, Guyana, Peru, Suriname dan Venezuela merupakan ahli Pertubuhan Perjanjian Kerjasama Amazon yang baru dihidupkan semula atau ACTO dan telah menyatakan harapan bersatu padu akan memberi mereka suara yang berpengaruh dalam perbincangan alam sekitar global menjelang persidangan iklim COP 28 pada November. – AP