Monday, November 25, 2024
26.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Negara akan memasuki Monsun Timur Disember ini

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 NOV – Negara Brunei Darussalam akan memasuki Monsun Timur Laut pada awal Disember 2023 dan dijangka akan berterusan sehingga sekitar hujung Mac 2024.

    Pada dua bulan pertama Monsun Timur Laut iaitu Disember 2023 dan Januari 2024, yang juga dikenali sebagai Musim Tengkujuh, adalah bulan-bulan yang lazimnya menerima jumlah turunan hujan yang banyak dan merekodkan bilangan hari-hari berhujan tertinggi jika dibandingkan dengan bulan-bulan yang lain.

    Semasa tempoh berkenaan, negara lazimnya mengalami keadaan cuaca tidak menentu, dengan hujan atau hujan berpetir sekali-sekala lebat terutamanya pada waktu malam hingga awal pagi.

    Jabatan Kaji cuaca Brunei Darussalam, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, dalam kenyataan mengenai permulaan Monsun Timur Laut yang dikeluarkan di sini, menyatakan berasaskan data klimatologi, Disember menerima jumlah purata turunan hujan sebanyak 358.9 mm dan Januari menerima jumlah purata turunan hujan sebanyak 320.6 mm.

    Purata bagi hari-hari berhujan bagi Disember ialah 21 hari dan Januari ialah 18 hari, jelas Jabatan Kaji cuaca Brunei Darussalam lagi.

    Semasa Musim Tengkujuh, adalah penting untuk orang ramai mengambil perhatian akan risiko tinggi berlakunya kejadian banjir atau banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai.

    Risiko kejadian banjir yang lebih teruk boleh berlaku apabila hujan berintensiti lebat bertembung dengan kejadian air pasang serta kejadian tanah susur dan pokok tumbang boleh terjadi semasa hujan lebat yang berlanjutan lebih dari 1 jam.

    Luruan angin sejuk Timur Laut yang kuat juga boleh menyebabkan peningkatan ketinggian ombak di perairan Brunei ke paras bergelora yang mana boleh mencapai sehingga 3.5 meter dan kelajuan angin boleh meningkat sehingga 50 kmsj.

    Keadaan laut bergelora adalah berbahaya kepada semua bot bersaiz kecil serta semua aktiviti rekreasi dan sukan laut seperti berenang, jet ski dan menyelam skuba, semasa musim berkenaan.

    Manakala semasa tempoh separuh kedua Monsun Timur Laut iaitu Februari dan Mac 2024, keadaan atmosfera cenderung menjadi lebih stabil dengan pengurangan aktiviti turunan hujan dengan jumlah purata turunan hujan bagi Februari ialah 162.9 mm dan bagi Mac ialah 143.4 mm.

    Manakala, purata bagi hari-hari berhujan bagi Februari ialah 12 hari dan bulan Mac ialah 13 hari.

    – Freepik

    Walau bagaimanapun dengan keadaan El Niño yang sedang berlaku di rantau kita pada masa ini, Negara Brunei Darussalam dijangka akan mengalami pengurangan aktiviti hujan dan penurunan jumlah turunan hujan dengan peningkatan suhu udara.

    Keadaan cuaca yang lebih panas dan kering berpotensi dijangka berlaku semasa kemuncak fenomena El Niño sekitar awal 2024, terutama pada Februari dan Mac 2024 nanti, iaitu dua bulan yang terkering bagi Negara Brunei Darussalam, berbanding dengan bulan-bulan yang lain.

    Peningkatan suhu harian maksima mungkin mencecah 34.0°C atau lebih pada waktu petang. Cuaca Panas Melampau (EHW) atau biasa dikenali sebagai kejadian gelombang haba di Negara Brunei Darussalam juga cenderung berlaku semasa episod El Niño.

    Berdasarkan model-model iklim antarabangsa, keadaan El Niño dijangka berlarutan sehingga Jun 2024. Oleh itu, ramalan cuaca bermusim bagi jumlah turunan hujan untuk tempoh Disember 2023 hingga Februari 2024 adalah bagi Disember ramalan cuaca bermusim adalah normal dengan anggaran turunan hujan 280-430 mm, bagi Januari 2024 ramalan cuaca bermusim adalah sedikit bawah normaul dengan anggaran turunan hujan ialah 190-260 mm serta bagi Februari 2024 ramalan cuaca bermusim adalah bawah normal dengan anggaran turunan hujan ialah ≤100 mm.

    Oleh yang demikian, orang ramai dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal dan yang bersesuaian dalam menangani impak dan hubungkait dengan keadaan cuaca aktif yang diramalkan berlaku pada Musim Tengkujuh itu serta juga keadaan cuaca kering yang diramalkan berlaku pada bulan Februari dan Mac 2024.

    Orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

    Jabatan Kaji cuaca Brunei Darussalam akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu dengan maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi, Brunei WX kerana, maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan.

    Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook (@bruneiweather) dan Instagram (@bruneiweather).

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda